Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

MENANTI KHABAR BERITA BUAT PEKERJA Tanggal 1 Mei 2023 merupakan satu hari yang amat istimewa khus...

MENANTI KHABAR BERITA BUAT PEKERJA Tanggal 1 Mei 2023 merupakan satu hari yang amat istimewa khus...



MENANTI KHABAR BERITA BUAT PEKERJA

Tanggal 1 Mei 2023 merupakan satu hari yang amat istimewa khususnya buat golongan pekerja. Namun, cabaran mutakhir ini kepada kelompok pekerja ini jauh lebih mencabar jika dibandingkan dengan sebelum ini. Bahkan cabaran pada ketika ini berkemungkinan lebih besar jika dibandingkan dengan cabaran semasa berlakunya krisis Covid-19 pada tahun 2020 yang lalu.

Pada ketika itu, pelaksanaan pelbagai inisiatif terutamanya melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah sedikit sebanyak mengimbangi kesusahan rakyat khususnya golongan pekerja.

Beberapa inisiatif yang dilaksanakan telah membantu meringankan beban pekerja khususnya melalui pelaksanaan inisiatif Moratorium, Program Subsidi Upah, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Geran Khas Prihatin. Program Subsidi Upah sebagai contoh telah membantu begitu ramai majikan dan pekerja untuk terus bernafas. Impaknya juga dapat mengawal kadar pengangguran daripada terus meningkat.

Semasa berlakunya Covid-19 tempoh hari, krisis dan tekanan ekonomi khususnya melibatkan rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan atau gaji yang diperoleh dikurangkan sebahagian besarnya adalah tertumpu kepada sektor swasta.

Bahkan, sebahagian besar inisiatif kepada golongan pekerja yang dilaksanakan pada ketika itu terutamanya Program Subsidi Upah, Geran Khas Prihatin dan Program Insentif Pengambilan Pekerja kebanyakannya tertumpu kepada sektor swasta dalam membantu majikan yang terkesan supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan.

Adakah keadaan lebih baik pada ketika ini khususnya dalam konteks pekerja sektor awam dan swasta? Sebenarnya, tekanan pada ketika ini sudah tidak mengira sektor awam ataupun swasta. Hal ini disebabkan oleh kenaikan harga barangan dan kenaikan kos sara hidup amat berbeza jika dibandingkan dengan pada ketika berlakunya krisis Covid-19.

Pada ketika itu, walaupun terdapat barangan yang meningkat harganya, namun ia masih lagi terkawal dan semua inisiatif yang diambil pada ketika itu sedikit sebanyak dapat mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan termasuk lebihan tunai di tangan melalui pelaksanaan Moratorium, Subsidi Upah dan Geran Khas Prihatin.

Situasi semasa pada ketika ini dengan mengambil kira Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2022, rakyat Malaysia yang tidak mengikut jadual bayaran balik pinjaman terus meningkat pada separuh kedua 2022 amat merisaukan. Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK juga tentu sekali meningkat pada ketika ini. Berlakunya juga peningkatan yang signifikan terhadap permohonan pinjaman along pada ketika ini dan perkara ini jelas menunjukkan keadaan sebenarnya bukannya bertambah baik bahkan tekanan ekonomi ini sudah pun merentasi dan dirasai oleh sektor awam dan juga sektor swasta.

Selain daripada mengawal kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, bagi mengawal ketidakseimbangan yang ketara antara pendapatan dengan kenaikan harga barangan dan peningkatan kos sara hidup yang naik secara mendadak maka kerajaan perlu mempertimbangkan kenaikan gaji penjawat awam agar jurang ketidakseimbangan ini mengecil.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu menyegerakan pelaksanaan kadar gaji kehidupan wajar di negara ini sebagaimana yang telah disyorkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini. Ia bagi memastikan pembayaran gaji dan upah yang diterima oleh pekerja adalah mencukupi bagi menjalani kehidupan yang berkualiti yang mencakupi diri masing-masing dan keluarga tidak kira sama ada di sektor awam ataupun sektor swasta.

Cadangan pelaksanaan model gaji progresif ini juga telah diutarakan oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim semasa sidang Dewan Rakyat sebelum ini dan mencadangkan agar kerajaan sekiranya tidak dapat melaksanakan secara menyeluruh, maka boleh dilaksanakan secara berperingkat melibatkan beberapa sektor yang bersesuaian. Ini sesuatu yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan, tatkala golongan pekerja sebahagiannya sedang bertarung untuk kelangsungan kehidupan seharian mereka yang benar-benar terhimpit pada ketika ini.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Sumber: Sinar Harian



(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2023-05-01 05:45:23

#pas

#pas
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook