Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

 WARISAN KESULTANAN KELANTAN MENDAULATKAN SYARIAT, PAYUNG KEADILAN DAN KEHARMONIAN RAKYAT
utama

WARISAN KESULTANAN KELANTAN MENDAULATKAN SYARIAT, PAYUNG KEADILAN DAN KEHARMONIAN RAKYAT

Oleh: Zaki Mustafa

KOTA BHARU, 26 September - Warisan Kesultanan Kelantan di era pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansor telah memperkenalkan sistem perundangan Islam dan memasyhurkan ‘Tahun Kebudayaan Negeri’ sebagai langkah awal menerap hukum syarak dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat di Kelantan.

Bahkan Sultan Mansor juga telah memulakan penubuhan suruhanjaya tanah dengan mendirikan Pejabat Tanah Pusat di Kota Bharu pada tahun 1897 selain turut mempelopori budaya wakaf dengan mewakafkan tanah di Mekah untuk kemudahan jemaah haji dan kegiatan pelajar-pelajar Kelantan di sekitar Masjidil Haram serta beberapa tanah di Kelantan sendiri untuk kegunaan yang pelbagai.

Demikian yang disingkap dalam Titah Ucapan Perasmian Wacana Intelektual oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Sultan Muhammad V Yang Ke-55 Tahun 2024 di sebuah hotel di sini hari ini.

“Sultan Mansor juga telah mempelopori ‘Pesta Puja Umur’, iaitu perayaan bagi menyambut hari ulang tahun keputeraan baginda-baginda tuanku kemudiannya.

“Sultan Mansor sinonim dengan raja yang alim, warak, kuat agama, menguatkuasakan undang-undang sivil dan syariah, menggagaskan pelantikan mufti kerajaan pertama Kelantan, pemasyhur Tahun Kebudayaan Negeri, menubuhkan suruhanjaya tanah, pewakafan tanah di Mekah dan Kelantan, pemantapan sistem kehidupan dan pemerintah yang adil dan saksama menyebabkan rakyatnya hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” titah Tengku Mahkota Kelantan.

Tambah baginda, institusi raja yang telah lama berakar di bumi Melayu telah memayungi perpaduan rakyat dan berupaya mengekalkan keamanan dan kegemilangan. 

Justeru baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Kelantan tanpa mengira kaum hendaklah kembali kepada akar sejarah dan tamadun bangsa negara ini.

Wacana Intelektual Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Sultan Muhammad V Yang Ke-55 Tahun 2024 turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Terdahulu, pembentangan kertas kerja Wacana Intelektual telah disampaikan oleh Pensyarah Kuliah Undang-undang UIAM yang juga Ahli Jawatankuasa Undang-undang MAIK, Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz dengan tajuk Sejarah, Peranan dan Keutuhan Sistem Beraja Dalam Aspek Perundangan. 

Manakala kertas kedua bertajuk Kedaulatan Raja Melayu: Lambang Dan Penghayatan Rakyat disampaikan oleh Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia (Kelantan) juga merangkap Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat MAIK, Dato’ A. Aziz Deraman.

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook