Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

 KELANTAN DAN ECERDC JALIN KERJASAMA PERKUKUHKAN INDUSTRI KAMBING TENUSU
utama

KELANTAN DAN ECERDC JALIN KERJASAMA PERKUKUHKAN INDUSTRI KAMBING TENUSU

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 14 Oktober- Kerajaan Negeri Kelantan dan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memeterai perjanjian kerjasama untuk memperkukuhkan industri kambing tenusu di Kelantan. 

Kerjasama ini memfokuskan kepada pembangunan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (Goat Milk Collection Centre-GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh. Fasiliti GMCC ini dijangka siap pada Februari 2025.

Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerjasama tersebut melibatkan usaha untuk meningkatkan sektor penternakan kambing tenusu di Kelantan.

"Kerjasama ini adalah untuk meningkatkan dan mengukuhkan sektor penternakan kambing tenusu di Kelantan memandangkan Kelantan mempunyai potensi yang besar dalam sektor pertanian termasuk penternakan. Kerjasama dengan ECERDC untuk membangunkan GMCC ini merupakan satu langkah strategik dalam merealisasikan potensi tersebut. 

"Kerjasama ini bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang kepada penternak tempatan untuk mengembangkan projek ternakan mereka, malah akan menjadikan negeri Kelantan sebagai salah satu pemain utama dalam sektor halal tenusu di Malaysia.

" Semoga dengan kerjasama ini akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat dan negeri Kelantan", katanya menerusi catatan di media sosial miliknya pada Ahad.

GMCC dijangka dapat mengumpul sebanyak 730,000 liter susu kambing segar menjelang tahun 2029. Jumlah pengeluaran susu kambing ini bukan sahaja dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang kian meningkat, tetapi juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor kambing tenusu di negeri Kelantan.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama tersebut diadakan sempena mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Penyelarasan ECER di Putrajaya pada Ahad. Kerajaan Negeri Kelantan diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato' Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf bersama Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Nazwan Ismail, manakala ECERDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato' Baidzawi Che Mat bersama Pemangku Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Tani ECERDC, Fakhrul Nizam Baharum.

Majlis perjanjian kerjasama tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato' Kaya Setia, Dato' Nazran Muhammad, Timbalan Pengarah (Pembangunan Koridor) Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi, Ravikumar a/l Suppiah, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan, Shahiran Shaari dan Ketua Pegawai Operasi ECERDC, Dato' Raju Sampasivam.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook