Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

TEATER TOK JANGGUT 13 LIANG PECAH PANGGUNG
utama

TEATER TOK JANGGUT 13 LIANG PECAH PANGGUNG

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 20 Oktober – Teater patuh syariah Tok Janggut 13 Liang arahan Jihan Meghaa daripada Pertubuhan Seni Rupa Jiwa berjaya mencuri perhatian ramai apabila pementasannya di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) pada 18 dan 19 Oktober, mencapai kejayaan besar dan pecah panggung.

Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zameri Mat Nawang berkata pementasan teater tersebut menarik perhatian ribuan penonton pada kedua-dua malam kerana jalan ceritanya yang sarat dengan semangat patriotisme dan pematuhannya terhadap syariah, tanpa melibatkan pelakon wanita.

“Syabas kita ucapkan kepada 30 pelakon dan 28 kru produksi yang menjayakan pementasan patuh syariah dan tidak mengenakan sebarang bayaran.  Lebih 1,000 penonton pada kedua-dua malam  persembahan menikmati mesej yang disampaikan para pelakonnya.

“Emosi perjuangan dan pengorbanan yang dilontarkan dengan penuh penghayatan telah membuktikan bahawa teater tersebut mampu menawan hati penonton walaupun tanpa kehadiran pelakon wanita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Datuk Hilal Azman memegang watak utama sebagai Tok Janggut, dibantu oleh pelakon hebat lain seperti Hasnul Rahmat yang memerankan watak pegawai British, Lagham Carter berjaya memberi pelbagai kesan emosi naskhah yang diadaptasi daripada novel Perwira karya agung Sasterawan Negara S. Othman Kelantan itu.

Beliau turut memuji garapan cerita, teknik sinografi dan gabungan elemen silat dan wayang kulit yang dikira akrab di hati bagi pengamal ilmu persilatan sepertinya.

“Teater berkisar kisah perjuangan pahlawan Tok Janggut, atau nama sebenarnya Tok Guru Mat Hassan Panglima Munas, dalam menentang undang-undang cukai yang membebankan rakyat Kelantan pada era penjajahan British,  memberi pengajaran kepada generasi muda tentang pentingnya mempertahankan kedaulatan tanah air serta perpaduan bangsa dan agama,” jelasnya.

Manakala penulis skrip, Noormaziah Yaacob atau lebih dikenali sebagai Lamia Aimal pula memaklumkan, kajian mendalam selama dua minggu dijalankan bagi memastikan ketepatan sejarah dalam jalan cerita.

Beliau berharap agar kisah garapannya dapat memberi inspirasi kepada masyarakat agar sentiasa bersatu mempertahankan tanah air daripada penjajah dan penindasan.

Sementara itu, salah seorang penonton mewakili Persatuan Busana Kelantan, Mohamad Salleh, 48, yang turut hadir memberikan pujian terhadap teater anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pertubuhan Seni Rupa Jiwa.

Katanya, penonton yang memenuhi setiap ruang yang ada teruja dan senyap sunyi menanti setiap babak berlangsung.

"Sistem efek bunyi dan pencahayaan membantu kemantapan keseluruhan penceritaan, dan dialognya disusun dengan baik. Teater sebaik ini dengan mesej yang jelas harus diangkat ke peringkat lebih tinggi," catatnya menerusi laman sosial, hari ini.

Penonton yang hadir turut mengenakan busana tradisional, selari dengan tema cerita.



MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook