Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

KELANTAN METERAI MoU PENDIDIKAN ANTARABANGSA DENGAN UNIVERSITI TERKEMUKA JORDAN
utama

KELANTAN METERAI MoU PENDIDIKAN ANTARABANGSA DENGAN UNIVERSITI TERKEMUKA JORDAN

Oleh: Norzana Razaly

AMMAN, 8 Nov - Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua universiti terkemuka di Jordan, iaitu World Islamic Sciences and Education University (WISE) dan Applied Science University (ASU).

Majlis menandatangani perjanjian bersejarah itu diwakili oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital, dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat.


 Manakala WISE pula diwakili Rektor Prof. Dr. Jaafar Al Magribi Al Fanatsah dan Prof. Dr. Samiha Jarrah menandatangani perjanjian bagi pihak universitinya.

Menurut Dato' Wan Roslan, WISE merupakan universiti berteraskan Islam yang menawarkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk seni, sains sosial, dan sains perubatan.

"WISE menampung hampir 8,000 pelajar, termasuk 800 pelajar antarabangsa, menjadikannya destinasi pilihan bagi pelajar yang ingin memperdalam ilmu agama dengan persekitaran pendidikan yang moden dan komprehensif.

"Sementara ASU pula dikenali sebagai institusi berprestij yang menekankan inovasi dalam pelbagai program akademik, terutama dalam bidang pengajian teknologi dan kejuruteraan," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan perjanjian itu dijangka membawa manfaat jangka panjang dalam memperkasa pelajar YIK dengan kelayakan akademik yang diiktiraf antarabangsa, sekali gus melahirkan generasi pendakwah yang berketerampilan.


MoU yang berlangsung pada Khamis itu disaksikan Ahli Lembaga YAKIN, Dato' Abdullah Yaakob, Timbalan Pengarah Kenaziran YIK, Sukeri Hussin serta Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ), Prof. Madya Dr. Mohd Radzuwan Ab Rashid.

Turut mengiringi, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah, Che Khairuleffendi Che Kamaruzaman dan Penolong Pengarah Pinjaman, Biasiswa dan Bantuan YAKIN, Rosfanizam Din.

Dato' Wan Roslan juga menyifatkan kerjasama itu sebagai usaha strategik untuk memperluaskan peluang pendidikan bagi pelajar Kelantan di luar negara, khususnya dalam pengajian Islam yang berkualiti tinggi di WISE dan ASU.

"Langkah ini membuka laluan kepada pelajar YIK untuk melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang pengajian Islam dan Qiraat di kedua-dua institusi tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kunjungan singkatnya bersama delegasi Kelantan ke Jordan, beliau mengambil peluang mengadakan sesi ramah mesra bersama pelajar Kelantan di sana.


Beliau sempat menyuntik semangat kepada siswa-siswi agar mereka menjadi pewaris legasi dakwah apabila kembali ke tanah air.

"Kita harap pelajar Kelantan yang menimba ilmu di bumi anbia’ ini akan pulang dan menyumbang kepada masyarakat, membawa obor dakwah dan semangat ilmu yang tinggi," ujarnya.


MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook