Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

PMBI PERKUKUH PENDEKATAN TARBAWI BERPEDOMAN AL-QURAN
utama

PMBI PERKUKUH PENDEKATAN TARBAWI BERPEDOMAN AL-QURAN

Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 23 Disember — Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang kini menjadi teras fasa ketiga pentadbiran Kelantan terus memperkukuh pendekatan tarbawi (pendidikan) unggul berasaskan Al-Quran dalam menghadapi cabaran era moden. 

Fokus utama pendekatan tersebut adalah membentuk keperibadian generasi muda sebagai pelapis kepimpinan masa depan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan kepentingan elemen Rabbani perlu diperkasakan dalam dasar pendidikan serta program budaya komuniti di negeri ini. 

Jelasnya, pendekatan tersebut dirangka berpandukan manhaj tarbawi rumusan Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi dalam makalahnya, Kaedah Tarbawi Yang Unggul Berpandukan Al-Quran.

Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi

“Cabaran di hadapan kita semakin hebat, terutama dalam mempengaruhi gaya hidup anak muda. Oleh itu, elemen Rabbani mesti diperkasakan melalui dasar pendidikan dan program komuniti yang menerapkan manhaj tarbawi berpandukan Al-Quran,” ujar beliau ketika merasmikan Seminar Ketokohan Tok Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, anjuran Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Dewan Johor KIAS, hari ini.

Beliau turut menjelaskan perjalanan pentadbiran Kelantan melalui tiga fasa; pertama, memulakan perubahan, kedua, merakyatkan dasar dan ketiga, memperkasakan penghayatan melalui pendekatan Qurani, seiring legasi mantan Menteri Besar almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA).

Mengulas lanjut, Dato’ Mohd Nassuruddin menjelaskan bahawa kaedah tarbawi rumusan Al-Buthi melibatkan tiga pendekatan utama; pertama, penilaian akal iaitu al-Quran membimbing akal manusia melalui dialog dan kaedah sesuai dengan tahap pemahaman manusia.

Kedua, kisah-kisah dan sejarah yang merujuk naratif dalam Al-Quran sarat dengan nasihat untuk membentuk jati diri.

Makalah Kaedah Tarbawi Yang Unggul Berpandukan Al-Quran

Manakala ketiga, rangsangan emosi yang menekankan unsur perasaan dalam al-Quran mendorong kepada kebaikan dan pengamalan agama dari sudut galakan berbuat kebaikan akan diberi ganjaran pahala dan menjadi insan yang dikasihi oleh Allah SWT.

“Modul dan program yang menjurus kepada pelaksanaan kaedah tarbawi ini hendaklah diperluas di setiap jabatan dan agensi kerajaan. Cahaya Al-Quran mesti terus meresapi hati rakyat Kelantan agar menjadi benteng kukuh dalam menghadapi cabaran akidah dan akhlak,” hurainya.

Dato' Mohd Nassuruddin turut berharap agar seminar itu menjadi pemangkin kepada usaha meneladani warisan ketokohan ATGNA serta membawa impak positif terhadap pengamalan Islam dalam masyarakat.

Beliau yakin, pendekatan bersepadu tersebut mencerminkan komitmen Kelantan dalam memastikan dasar PMBI kekal relevan dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat sejajar dengan matlamat negeri untuk menjadi model pembangunan Rabbani yang berjaya di dunia dan akhirat.

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook