Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

KELANTAN, KADA BINCANG ISU PENANAMAN PADI, HADAPI KEMARAU
utama

KELANTAN, KADA BINCANG ISU PENANAMAN PADI, HADAPI KEMARAU

Kredit foto: Media Exco Pertanian

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 8 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengadakan perbincangan berkaitan isu penanaman padi terutamanya rumah pam Kemubu, pembinaan cerucuk (sheet pile), dan persediaan menghadapi musim kemarau yang bakal tiba.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menegaskan, keperluan kerjasama erat dua pihak itu amat penting dalam memastikan bekalan air mencukupi untuk sektor pertanian.

“Dalam pertemuan ini, kita memberi penekanan tentang pentingnya sinergi antara Kerajaan Negeri Kelantan dan KADA untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi sektor pertanian, khususnya penanaman padi.

“Langkah-langkah proaktif dan perancangan rapi amat penting bagi meningkatkan hasil padi untuk manfaat para petani,” katanya melalui catatan di media sosial pada Isnin.

Perbincangan tersebut diadakan sempena kunjungan hormat Pengerusi KADA yang baharu, Khalid Samad bersama rombongan pengurusan KADA ke pejabat exco di Mabna.

Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan Mohamad Nazwan Ismail.

Dato' Tuan Mohd Saripudin turut berharap pelantikan pengerusi KADA yang baharu akan membawa sinergi baharu dalam usaha memperkasakan sektor pertanian dan meningkatkan daya saing industri padi negara.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pengeluaran hasil tangkapan ikan di Kelantan pada tahun 2023 mencatatkan peningkatan kepada 60,031.6 metrik tan dengan nilai RM643.7 juta, berbanding 55,083 metrik tan bernilai RM548.9 juta pada tahun 2022.

“Pengeluaran ikan air tawar turut meningkat pada tahun 2023 dengan jumlah 5,933.1 metrik tan bernilai RM43.2 juta,” tambahnya.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook