Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

ANALISIS SEMANTIK  LIRIK "INDAHNYA KELANTAN”
utama

ANALISIS SEMANTIK LIRIK "INDAHNYA KELANTAN”

Oleh: Norzana Razaly

Abstrak
Lirik lagu merupakan medium seni yang berfungsi bukan sahaja sebagai hiburan, tetapi juga sebagai cerminan identiti budaya, sosial, dan nilai sesebuah masyarakat.

Tulisan ini menganalisis lirik lagu "Indahnya Kelantan"  dari sudut semantik, dengan memberi tumpuan kepada makna literal dan konotatif yang terkandung dalam liriknya.

Analisis ringkas ini mengetengahkan bagaimana penggunaan dialek tempatan, simbol budaya, serta nilai tradisi dalam lagu tersebut mencerminkan hubungan erat antara bahasa, budaya, dan identiti masyarakat Kelantan.

Kata kunci: Semantik, identiti budaya, Kelantan, lirik lagu, makna konotatif

@kijang_music Nantikan pelancaran serentak muzik video LAGU INDAH NYA KELANTAN di Mydin Tunjung Kota Bharu Kelantan dan di channel youtube Kijang music pada 1 Feb 2025 jam 9.30 malam.. #denmanjo #fendikenali #eddiehamid #fadhilturbo #kelantantourisminformationcentre #ktic #indahnyakelantan #fyp ♬ original sound - Kijang Music Malaysia

Pengenalan
Semantik merupakan cabang ilmu linguistik yang mengkaji makna dalam bahasa, merangkumi makna denotatif (literal) dan konotatif (implisit).

Lirik "Indahnya Kelantan" ciptaan Fadhil Turbo manakala lagunya pula gubahan Eddie Hamid menawarkan satu manifestasi linguistik yang kaya dengan elemen budaya Kelantan.

Lagu dendangan Fendi Kenali, Din Manjo, Eddie Hamid dan Fadhil Turbo ini menonjolkan perasaan bangga anak Kelantan terhadap identiti negeri dan memperlihatkan bagaimana unsur bahasa dapat memupuk kesedaran tentang warisan budaya.

Tulisan ini bertujuan untuk menganalisis secara ringkas aspek makna yang diartikulasi dalam lirik lagu berkenaan.

Logo 'INDAHNYA KELANTAN'

Penegasan Identiti Kolektif
Identiti kolektif dalam lirik ini diungkapkan melalui penggunaan frasa dan rujukan khusus yang berkaitan dengan asal-usul masyarakat Kelantan. Contohnya:
"Kita ore Klate usul tatkala mulo/IC 29, IC 03"

Frasa "ore Klate" (orang Kelantan) berfungsi sebagai penanda identiti yang jelas, bukan sahaja merujuk kepada latar geografi tetapi juga mengimplikasikan rasa kebanggaan terhadap warisan budaya dan sejarah tempatan.

Penggunaan kod kad pengenalan "IC 29, IC 03" pula merupakan rujukan administratif yang menegaskan lagi identiti geografi secara formal.

Dari perspektif semantik, kedua-dua rujukan ini membawa makna denotatif yang literal, namun secara konotatif, ia menonjolkan solidariti dan kebanggaan kolektif masyarakat Kelantan.

Makna Konotatif Terhadap Budaya dan Tradisi
Lirik ini turut sarat dengan rujukan kepada elemen budaya tradisional Kelantan, seperti yang dinyatakan oleh tukang karut:
"Ada wayang kulit, ada dikir barat/Ada main teri, ada main noro"

Wayang kulit dan dikir barat merupakan seni persembahan tradisional yang kaya dengan elemen naratif, muzik, dan puisi. Secara denotatif, frasa ini merujuk kepada bentuk seni tertentu.

Namun, secara konotatif, ia melambangkan kesinambungan warisan budaya dan kreativiti masyarakat Kelantan yang diwarisi turun-temurun.

"Main teri" (dan "main noro", yang merujuk kepada permainan tradisional, menandakan elemen sosialisasi dalam kalangan masyarakat yang mendarah daging dalam jiwa seni anak Kelantan. Sekali gus  membuktikan bahawa warisan budaya berfungsi sebagai hiburan dan aset penting dalam pembinaan identiti nasional.

Nilai Estetik dan Keindahan Sosial
Konsep kecantikan dalam lirik ini diungkapkan melalui deskripsi yang sederhana tetapi sarat makna:
“Ore jate tu meme semat jetak/Ore tino pulok comey lotey”.

Secara literal, "ore tino" bermaksud wanita, manakala "comey lotey" bermaksud sangat cantik dalam dialek Kelantan. Namun, kecantikan di sini tidak hanya merujuk kepada aspek fizikal, sebaliknya turut mencerminkan keindahan budi pekerti dan kelembutan peribadi.

Frasa ini mengandungi makna konotatif yang merangkumi nilai estetik tradisional Melayu yang mengutamakan kesederhanaan, kesopanan, dan kelembutan sebagai manifestasi kecantikan sejati.

Manakala aspek kehidupan masyarakat Kelantan pula digambarkan dengan jelas dalam lirik:
"Tengok kehidupan napok biasa-biasa/pakai kain sarung sauk selipar Jepun/tapi harta sekaya budi bahasa/berlemah lembut/bersopan santun”

Ungkapan ini memperlihatkan paradoks di antara kesederhanaan material dan kekayaan nilai spiritual. "Kain sarung" dan "selipar Jepun" melambangkan gaya hidup yang sederhana, manakala "sekaya budi bahasa" menunjukkan bahawa kekayaan sebenar terletak pada nilai murni seperti sopan santun, budi pekerti dan adab.

Secara semantik, frasa ini mempamerkan makna konotatif yang mendalam, iaitu penghargaan terhadap nilai dalaman yang lebih berharga berbanding materialisme.

Di samping itu, nilai patriotisme turut diselitkan dalam lirik lagu ini pada frasa "Aku banggo jadi ore Klate, aman sejahtera di bawah alsulte"

Perasaan bangga sebagai rakyat Kelantan diungkapkan secara eksplisit melalui frasa "aku banggo". Rujukan kepada "alsulte" (al-Sultan) pula menonjolkan elemen kesetiaan kepada institusi diraja, yang menjadi simbol kestabilan politik dan keharmonian negeri.

Dari segi semantik, ini membawa makna konotatif yang menghubungkan identiti individu dengan sistem sosial yang lebih besar, iaitu negeri dan kepimpinan raja.

Kesimpulannya, lirik lagu "Indahnya Kelantan" ialah sebuah karya seni yang sarat teks budaya dan mengandungi pelbagai makna semantik.

Analisis ini menunjukkan bagaimana makna literal dan konotatif digunakan untuk menonjolkan identiti budaya, tradisi, serta nilai sosial masyarakat Kelantan.

Lagu yang diperdengarkan kepada ribuan penonton pada 1 Februari 2025 sempena Kempen "Indahnya Kelantan 2025" bertujuan untuk mempromosi keunikan budaya, keindahan alam semula jadi, serta kepelbagaian produk pelancongan yang menjadi kesinambungan Tahun Melawat Kelantan (TMK2024).

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di perkarangan Mydin Mall, Tunjong, Kota Bharu.

Lagu ini berfungsi sebagai medium untuk memupuk rasa cinta terhadap negeri, memperingati warisan budaya, dan mengekalkan kesinambungan identiti kolektif dalam kalangan generasi muda.

Sementelahan dengan pelbagai program dan inisiatif sepanjang tahun, lagu ini mampu menjadi magnet yang menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Kelantan.

Rujukan
Lyons, J. (1977). Semantics. Cambridge University Press.
Leech, G. (1981). Semantics: The Study of Meaning. Penguin Books.
Asmah Haji Omar. (1993). Susur Galur Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim et al. (2008). Tatabahasa Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka.

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook