Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

HANYA ADA ADI GURU TUNGGAL DI KELANTAN, BELIA DISERU SERTAI PROJEK KELINGKAN 2025
utama

HANYA ADA ADI GURU TUNGGAL DI KELANTAN, BELIA DISERU SERTAI PROJEK KELINGKAN 2025

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 4 Februari – Hanya tinggal seorang adi guru kelingkan di Kelantan.

Itulah realiti yang diketengahkan dalam Taklimat Projek Latihan Intensif Kelingkan dan Songket 2025 anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KEKWA) dengan kerjasama Majlis Kraf Malaysia (MCC) dan Yayasan Hasanah, hari ini.

Taklimat yang diadakan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim itu bertujuan memberi pendedahan mendalam kepada peserta mengenai seni sulaman kelingkan dan tenunan songket, warisan halus yang semakin terpinggir.

Selendang kelingkan diperbuat daripada benang logam pipih bersadur emas, perak, dan tembaga, menjadikan hasil seninya bernilai tinggi serta eksklusif. Proses pembuatannya yang rumit memerlukan kemahiran tinggi, menjadikan kelingkan bukan sekadar aksesori, tetapi simbol status dan warisan budaya masyarakat Melayu.

Pengarah U-KEKWA, Ilvira Mohd Dasuki mendedahkan bahawa Kelantan kini hanya mempunyai seorang sahaja guru sulaman kelingkan, iaitu Nik Marhamah Nik Megat, yang diiktiraf sebagai Master Artisan dalam bidang tersebut.

"Nik Marhamah adalah satu-satunya adi guru sulaman kelingkan di negeri ini. Beliau sering diundang ke seluruh negara untuk berkongsi kepakaran. Ini peluang berharga buat peserta untuk belajar daripada beliau sebelum warisan ini lenyap ditelan zaman," ujarnya.

Tambahnya, program tersebut akan memperkenalkan kelingkan kepada peserta dan menambah ilmu serta memupuk minat mendalam dalam kalangan generasi baharu.

"Peserta yang hadir hari ini terdiri daripada pakar jahitan dan sulaman. Program ini memberi ruang untuk mereka mendalami seni kelingkan, seterusnya melestarikan tradisi warisan ini yang sarat nilai sejarah dan budaya," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Beliau turut  memaklumkan bahawa seramai 20 peserta diperlukan untuk menyertai kursus seni sulaman kelingkan tahun ini, yang dijadualkan berlangsung selama tiga bulan di Pusat Latihan OKU, Wanita dan Armalah, Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu.

"Peserta yang terpilih akan menerima elaun sepanjang kursus dan dianugerahkan sijil selepas tamat latihan. Kami harap lebih ramai peserta hari ini berminat menyertai kursus ini bagi memastikan seni kelingkan terus subur dalam kalangan generasi muda," jelasnya.

Beliau turut menyeru agar guru-guru jahitan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) dan alumni PPWK yang hadir menjadi duta kecil bagi mempromosikan program berkenaan kepada masyarakat.

Turut hadir dalam taklimat tersebut, Penolong Pengarah Kanan Unit Kemahiran U-KEKWA Bazilah Kamarudin, Presiden Majlis Kraf Malaysia Nik Faiz Nik Amin, Master Artisan Kelingkan Kelantan Nik Marhamah Nik Megat, Pegawai Bengkel Songket Penjara Kelantan Sarjan Mejar Mohd Saufi Ali dan Pengarah Projek The Textile Project Ariza Mohd Yusuf.



MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook