Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

KELANTAN PERKUKUH PERLINDUNGAN HARTA INTELEK DALAM PELANCONGAN GASTRONOMI
utama

KELANTAN PERKUKUH PERLINDUNGAN HARTA INTELEK DALAM PELANCONGAN GASTRONOMI

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 18 Februari 2025 – Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan terus memperkukuh peranannya dalam memastikan perlindungan harta intelek sebagai aset penting dalam pembangunan ekonomi dan pelancongan negeri.

Sebagai sebahagian daripada Projek Harta Intelek dan Pelancongan Gastronomi, SUK Kelantan dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia telah menganjurkan bengkel perlindungan harta intelek di sebuah hotel di sini, semalam bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penggiat industri makanan tradisional.

Bengkel tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Yusnieza Syarmila Yusoff.

Ia dihadiri Penolong Pengarah Pelancongan dan Warisan (Unit Perancang Ekonomi) SUK Kelantan Wan Nursyazwani Wan Adzlan bersama pegawai-pegawai majlis perbandaran dan daerah.

Menurut Wan Nursyazwani, bengkel itu merupakan langkah awal untuk memperkasa pemahaman dan kesedaran pengusaha tempatan mengenai kepentingan perlindungan harta intelek, khususnya melalui pendaftaran cap dagangan dan petunjuk geografi.

"Inisiatif ini bertujuan untuk melindungi warisan makanan negeri dan membantu pengusaha tempatan memasarkan produk mereka dengan lebih kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Bengkel ini juga menjadi platform bagi membincangkan keperluan kawalan kualiti dalam penghasilan makanan tradisional Kelantan, termasuk usaha mendaftarkan Nasi Kerabu Kelantan sebagai petunjuk geografi menerusi penubuhan persatuan pengusaha," katanya.

Tambahnya, langkah tersebut selari dengan strategi kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan gastronomi yang berpotensi menjana limpahan ekonomi kepada usahawan tempatan.

Sementara itu, Yusnieza Syarmila memaklumkan bahawa bengkel berkenaan ialah sebagai persediaan untuk program kemuncak di peringkat nasional yang bakal berlangsung pada 19 hingga 23 Mei 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

"Bengkel ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 50 peserta.

"Antara peserta yang hadir termasuk pengusaha makanan tradisional, usahawan, wakil industri pelancongan serta institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Antarabangsa UNITAR," katanya ketika dihubungi, hari ini.



MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook