Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Pertahan semangat muhibah di Kelantan

Pertahan semangat muhibah di Kelantan



SALMAH MAT HUSAIN

MACHANG: Semangat muhibah antara kaum di Kelantan perlu dipertahankan supaya keamanan yang dikecapi hari ini terus dinikmati semua lapisan masyarakat.


Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, hubungan erat antara kaum menjadi kukuh melalui interaksi sosial, perniagaan serta aktiviti kemasyarakatan yang berlangsung dalam suasana harmoni.


"Melalui program Yayasan Petronas Memacu Kehidupan Tahun Baharu Cina 2025 ini, agensi korporat itu tampil sebagai rakan strategik pembangunan sosial dengan membantu golongan yang memerlukan.


"Saya difahamkan di Kelantan, sumbangan program ini diberikan kepada 100 penerima bertuah dari jajahan Kota Bharu dan Machang, manakala secara keseluruhan 2,100 penerima terpilih di 11 negeri seluruh Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini semalam. 


Katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha sebegini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat, malah mengukuhkan hubungan antara sektor korporat dan masyarakat.


Beliau berharap lebih banyak syarikat konglomerat lain mencontohi Petronas menjayakan inisiatif sosial yang membawa manfaat besar kepada masyarakat.


"Semoga usaha Petronas dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan serta mengeratkan hubungan antara Petronas, kakitangannya dan masyarakat setempat," katanya.


Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua, dengan harapan tahun ini membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada semua.


Sementara itu Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahad Syazly Ramli, berkata, Yayasan Petronas terus komited dalam melaksanakan program kemasyarakatan menerusi tiga teras utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti, serta alam sekitar.


Katanya, program tersebut sebahagian daripada inisiatif di bawah teras kesejahteraan dan pembangunan masyarakat.


"Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan yang kurang berkemampuan. 


"Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, kami berusaha memastikan setiap individu berpeluang menikmati kehidupan yang lebih baik, tanpa mengira latar belakang mereka," katanya.


Beliau berharap program ini dapat memberi manfaat besar serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.


Untuk Tahun Baharu Cina kali ini, Yayasan PETRONAS mensasarkan sumbangan kepada 2,100 keluarga di seluruh Malaysia dengan jumlah bantuan bernilai RM420,000.

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook