Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

KELANTAN PERUNTUK RM100 RIBU SETAHUN UNTUK KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA
utama

KELANTAN PERUNTUK RM100 RIBU SETAHUN UNTUK KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA

Oleh: Asri Hamat

KUALA KRAI, 27 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM100,000 setahun kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Kelantan bagi melaksanakan kempen keselamatan jalan raya di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi MKJR Negeri Kelantan YB Hilmi Abdullah berkata peruntukan tersebut diberikan setelah permohonan dikemukakan.

Separuh daripadanya digunakan bagi kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri.

"Sebahagian daripada peruntukan RM100,000 ini digunakan untuk kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri, khusus bagi menyambut anak-anak Kelantan di perantauan yang pulang berhari raya.

"Baki peruntukan pula diperuntukkan untuk program di sekolah, pengedaran risalah serta poster berkaitan keselamatan jalan raya.

"Pada penghujung tahun lalu, MKJR turut menganjurkan kempen penukaran topi keledar di Dewan Sri Guchil.

"Inilah antara inisiatif yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, meskipun dengan sumber kewangan yang terhad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Aidilfitri 1446H/2025M di Kampung Pahi, di sini, hari ini.

Menurutnya, peranan utama MKJR adalah menganjurkan kempen keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan yang meragut banyak nyawa saban tahun.

"Setiap tahun, tidak kurang daripada 6,000 nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya. Ini merupakan jumlah yang tinggi dan semakin meningkat saban tahun, seiring pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya serta kurangnya kesedaran dalam kalangan pengguna.

"Sehingga Oktober 2024, sebanyak 532,125 kes nahas jalan raya direkodkan, mengakibatkan 6,364 kematian.

"Daripada jumlah tersebut, 68 peratus merupakan penunggang motosikal, sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada angka kematian di jalan raya di Malaysia.

"Di Kelantan sahaja, purata 18 kematian akibat kemalangan direkodkan setiap bulan, dengan 70 peratus daripada mangsa berumur antara 16 hingga 25 tahun.

"Ini satu kerugian besar kepada negara kerana mereka merupakan aset modal insan dan harapan keluarga," jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga diminta menjalankan kempen awal kepada pelajar yang bakal memiliki lesen memandu," tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai inisiatif Skuad Bantu, YB Hilmi berkata, pasukan itu terdiri daripada anak-anak muda Kuala Krai yang menawarkan khidmat percuma bagi membantu perantau yang mengalami kerosakan kecil pada kenderaan mereka ketika dalam perjalanan pulang ke kampung.

"Skuad ini beroperasi dari waktu Asar hingga malam bagi membantu mereka yang terkandas akibat tayar pancit, kehabisan minyak atau kerosakan kecil yang lain, terutama apabila bengkel sudah ditutup pada waktu malam.

"Jika kerosakan lebih serius, skuad ini turut menyediakan khidmat menghantar mereka ke destinasi masing-masing, sementara kenderaan yang rosak akan dibawa ke bengkel," katanya.

Turut hadir dalam program berkenaan, Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latif Abdul Rahman; Ahli Dewan Negeri (ADN) Manek Urai YB Fauzi Abdullah; ADN Mengkebang YB Zubir Abu Bakar, Ketua Jajahan Kuala Krai Mohd Shaifudeen Mohd Salleh serta Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintenden Mazlan Mamat.



MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook