Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Penting lelaki terokai pendidikan awal kanak-kanak

Penting lelaki terokai pendidikan awal kanak-kanak

 


Oleh Ahmad Hazman Ali

DALAM dunia pendidikan awal kanak-kanak, kita biasa melihat dominasi tenaga pengajar ialah golongan wanita. 


Dari institusi pendidikan sehingga ke lapangan kerja, jumlah lelaki dalam bidang tersebut boleh dikira dengan jari. Jika kita lihat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), bilangan pelajar lelaki pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak sangat kecil berbanding pelajar wanita.


Jadi, timbul persoalan adakah kehadiran lelaki dalam bidang terbabit hanya sekadar nilai tambah atau sebenarnya satu keperluan yang harus dipandang serius.


Lelaki kurang minat Pendidikan Awal Kanak-Kanak


Realitinya, ramai pelajar lelaki tidak mempertimbangkan bidang pendidikan awal kanak-kanak sebagai pilihan utama mereka. Faktor utama mungkin persepsi masyarakat.


Masih ramai yang melihat bidang berkenaan sebagai ‘kerja wanita’ kerana ia berkaitan dengan penjagaan, asuhan dan pendidikan anak kecil. Ia tugas yang secara tradisional dikaitkan dengan naluri keibuan. Akibatnya, lelaki yang memilih bidang itu sering dianggap pelik atau dipersoalkan keupayaan mereka.


Hakikatnya, tiada apa yang ‘pelik’ pun. Pendidikan awal kanak-kanak bukan hanya soal mengasuh dan menjaga, tetapi lebih kepada membentuk asas perkembangan emosi, sosial dan intelektual kanak-kanak. Dan di sinilah peranan lelaki begitu penting.


Ada yang berpendapat kehadiran lelaki dalam bidang pendidikan awal sekadar ‘nilai tambah’ jika ada, bagus; kalau tiada, tak mengapa. Tetapi, hakikatnya, lelaki dalam bidang berkenaan bukan sekadar pelengkap, tetapi suatu keperluan.


Kanak-kanak memerlukan kepelbagaian model peranan dalam kehidupan mereka. Kehadiran guru lelaki boleh memberikan perspektif berbeza, terutama bagi kanak-kanak yang membesar tanpa figura ayah. 


Guru lelaki juga boleh membantu kanak-kanak memahami penjagaan dan pendidikan bukan tanggungjawab wanita semata-mata.


Lebih menarik, lelaki sering membawa pendekatan pembelajaran yang lebih aktif, banyak melibatkan pergerakan, eksplorasi dan penerokaan. Ini memberi kelebihan dalam membina keyakinan diri, keberanian dan kemahiran sosial kanak-kanak.



Walaupun bidang ini didominasi wanita, sebenarnya peluang pekerjaan untuk lelaki sangat luas. Lelaki yang mempunyai kelayakan dalam pendidikan awal kanak-kanak boleh bekerja sebagai:

✅ Guru tadika atau taska

✅ Penyelia pusat asuhan

✅ Perancang kurikulum pendidikan awal

✅ Kaunselor perkembangan kanak-kanak

✅ Pemilik atau pengusaha pusat pendidikan awal

✅Pengusaha Pelancongan Kanak-Kanak

✅Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Institusi Pengajian Tinggi


Bukan itu sahaja, ada juga yang memilih untuk menjadi tenaga pengajar dalam institusi latihan guru, atau melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi perkembangan kanak-kanak.


Malah, ada pusat pendidikan yang secara khusus mencari tenaga pengajar lelaki kerana mereka sedar kepentingan keseimbangan gender dalam pendidikan awal.


Stigma masyarakat


Walaupun peluang terbuka luas, stigma masih menjadi cabaran utama. Lelaki dalam bidang ini sering berdepan dengan soalan seperti:


- “Kenapa pilih kerja jaga budak?”

- “Tak malu ke kerja macam ni?”

- “Bukan kerja ni untuk perempuan ke?”


Persoalan-persoalan tersebut menunjukkan betapa kuatnya stereotaip yang masih wujud dalam masyarakat kita.


Di KIAS pelajar lelaki dalam bidang pendidikan awal mungkin mengalami cabaran dari segi penerimaan sosial. 


Namun, mereka yang benar-benar berminat dan komited pasti akan dapat membuktikan kerjaya tersebut bukan soal jantina, tetapi soal minat dan kebolehan.



Untuk mengubah stigma ini, kita perlukan lebih banyak kisah kejayaan lelaki dalam bidang pendidikan awal. 


Institusi pendidikan, media dan masyarakat secara keseluruhan perlu memainkan peranan dalam mengetengahkan kepentingan tenaga pengajar lelaki dalam perkembangan kanak-kanak.


Kesimpulannya, lelaki dalam pendidikan awal kanak-kanak sekadar nilai tambah atau keperluan? Jawapannya jelas ia satu keperluan yang harus diiktiraf.


Lebih ramai lelaki dalam bidang terbabit bermakna lebih banyak kepelbagaian dalam kaedah pengajaran, lebih banyak model peranan positif untuk kanak-kanak dan lebih banyak peluang untuk membentuk sistem pendidikan yang lebih seimbang dan inklusif.


Pelajar lelaki di KIAS dan institusi lain perlu diberikan galakan dan sokongan agar mereka dapat terus maju dalam bidang ini. 


Dengan kesedaran dan penerimaan yang lebih meluas, kita pasti dapat melihat lebih ramai tenaga pengajar lelaki berkualiti dalam pendidikan awal kanak-kanak, bukan sekadar pelengkap, tetapi sebagai aset yang sangat bernilai.



# Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan KIAS

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook