Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

IPR INTAN LONJAK PENDAPATAN 100 USAHAWAN DI MACHANG
utama

IPR INTAN LONJAK PENDAPATAN 100 USAHAWAN DI MACHANG


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 29 April – Seramai 100 usahawan tempatan bakal mendapat manfaat langsung melalui pelaksanaan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Tani (IPR INTAN) yang kini mula dilaksanakan secara berfasa di atas tanah seluas 50 ekar di Mukim Padang Kemuchup, Machang.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, projek berimpak tinggi tersebut merupakan kerjasama strategik antara tiga pihak iaitu Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang, Pasir Puteh.

“Projek ini akan dilaksanakan secara dua fasa. Fasa pertama melibatkan kawasan seluas 30 ekar yang akan memberi peluang pekerjaan kepada 60 usahawan, manakala fasa kedua pula melibatkan 20 ekar dengan penglibatan seramai 40 usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama IPR INTAN di Bechah Kemuning Machang Kelantan di antara PKPNK dan PPK Bukit Awang di Bilik Gerakan, Mabna, hari ini.

Turut mengiring ialah timbalannya YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurutnya, keseluruhan projek itu melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM10.48 juta dan dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

“Projek ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, tetapi juga memperkukuh ekosistem agropreneur luar bandar yang lebih mampan dan berdaya saing,” tambahnya.

Untuk rekod, IPR INTAN merupakan antara inisiatif nasional yang dirangka untuk memperluas jaringan ekonomi rakyat melalui penglibatan langsung dalam sektor pertanian, dengan penekanan kepada pembangunan modal insan, peningkatan produktiviti serta pemerkasaan keusahawanan tani di peringkat komuniti.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook