Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

HIJRAH, JIHAD TERAS PEMBANGUNAN UMMAH – MB KELANTAN
utama

HIJRAH, JIHAD TERAS PEMBANGUNAN UMMAH – MB KELANTAN


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 26 Jun – "Hijrah dan jihad adalah asas utama pembentukan ummah yang cemerlang. Ia bukan sekadar catatan sejarah, tetapi manhaj kehidupan yang wajib dihayati umat Islam hari ini.

Kenyataan tersebut dizahirkan Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1447H/2025 di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, semalam.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 20 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Menurutnya, kegemilangan Islam tidak berlaku secara kebetulan, tetapi dibina atas pengorbanan dan kesabaran Rasulullah SAW serta para sahabat dalam menempuh ujian berat melalui jalan hijrah dan jihad.

"Kedua-duanya merupakan sunnatullah dalam membangunkan tamadun Islam yang unggul.

“Hijrah melambangkan ketundukan mutlak kepada perintah Allah, manakala jihad ialah puncak perjuangan seorang Muslim dalam menyebarkan kebenaran dan menolak kebatilan,” jelasnya.

Tambah beliau, gabungan hijrah dan jihad adalah formula kejayaan yang dirakam jelas di dalam al-Quran.

"Dengan tema Hijrah Pemangkin Pembangunan Ummah, sambutan tahun ini membawa peringatan tentang pentingnya umat Islam melakukan anjakan menyeluruh – bukan hanya rohani dan akhlak, malah juga dalam aspek pendidikan, ekonomi, sosial dan kepimpinan," ujarnya.

Menteri Besar turut memperincikan tiga elemen penting sebagai teras pembangunan berlandaskan semangat hijrah dan jihad.

Pertama, asas kejayaan hijrah Rasulullah SAW bermula dengan pendidikan yang bersumberkan wahyu.

Maka, sistem pendidikan Rabbani yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah wajib diperkasa bagi melahirkan generasi berilmu, beriman dan berprinsip.

Kedua, ibrah daripada pemerintahan Islam di Madinah, agenda kebajikan perlu diberi keutamaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

“Negara Islam bukan hanya menguatkuasakan hukum, tetapi membela nasib rakyat dalam segenap sudut kehidupan,” katanya.

Ketiga, perpaduan kaum Muhajirin dan Ansar serta perdamaian Aus dan Khazraj menjadi model perpaduan dalam masyarakat Islam.

Beliau menyeru agar umat Islam hari ini menjadikan kesatuan ummah sebagai matlamat utama dalam menghadapi cabaran perpecahan.

“Hijrah bukan hanya soal geografi, tetapi perubahan sikap, pemikiran dan keazaman untuk menjadi lebih baik. Manakala jihad bukan semata-mata di medan perang, tetapi usaha bersungguh-sungguh dalam memperbaiki diri, masyarakat dan negara,” ujar beliau.


Majlis sambutan berskala tahunan itu turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan YTM Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni almarhum Sultan Ismail Petra.

Mengakhiri ucapannya, Menteri Besar menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan untuk terus menjunjung agenda pembangunan ummah melalui dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam, yang berpaksikan nilai hijrah dan jihad sebagai tunjang kejayaan.

“Mudah-mudahan semangat hijrah dan jihad terus menyala dalam jiwa kita, menjadi pemangkin kepada kesejahteraan rakyat dan kecemerlangan negeri Kelantan sebagai model pentadbiran Islam yang dirahmati,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook