Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

HIJRAH PEMIKIRAN, JIWA DAN TINDAKAN TERAS KECEMERLANGAN UMMAH
utama

HIJRAH PEMIKIRAN, JIWA DAN TINDAKAN TERAS KECEMERLANGAN UMMAH


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 26 Jun – Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, sebaliknya satu proses pemurnian diri yang melibatkan perubahan cara berfikir, rasa cinta terhadap agama dan tanah air, serta komitmen untuk meninggalkan kejahilan menuju ketaatan.

Demikian intipati utama tausiah yang dikongsikan oleh penceramah undangan Ustaz Mohd Hariri Daud dalam Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1447H yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, malam ini.

Menurutnya, jalur pertama mengupas bagaimana masyarakat Arab dahulu menamakan tahun mengikut peristiwa besar.

"Tahun Gajah menjadi penanda kelahiran Rasulullah SAW, manakala tahun pertama Hijrah dinamakan Tahun Azan kerana syariat laungan azan mula diperkenalkan.

“Kalendar Islam tersusun indah dengan rahmat Allah SWT, bermula Muharam dan berakhir Zulhijjah, seperti disebut dalam Surah at-Taubah,” katanya.

Jalur kedua menyentuh kecintaan Rasulullah SAW kepada tanah kelahirannya, Mekah al-Mukarramah.

Ustaz Hariri menegaskan bahawa walaupun Rasulullah terpaksa berhijrah, baginda tetap mencintai Mekah, dan memohon agar Allah menanamkan cinta yang sama terhadap bumi Madinah.

“Hijrah mengajar kita bahawa cinta kepada tanah air adalah fitrah. Sebagaimana saya sendiri berhijrah ke negeri-negeri lain, namun kekal berdialek Kelantan kerana akar keluarga tidak pernah berubah,” ujarnya.

Beliau turut memberi contoh kejayaan pemain bola sepak profesional Mesir Mohamed Salah, yang berhijrah ke lapan buah kelab sebelum menemui kejayaan dengan Liverpool.

Menariknya, Ustaz Hariri turut menyebut bagaimana orang Kelantan berhijrah membawa budu ke Korea Selatan, menjadikan identiti dan warisan makanan itu sebagai simbol ketahanan budaya.

“Berdasarkan jurnal universiti, budu kaya Omega-3. Proses fermentasi mengandungi probiotik sebagai pelengkap makanan dan penyubur minda,” ujarnya.

Beliau menamatkan ceramah berkenaan jalur ketiga yang menyorot kisah para sahabat dan penentang Rasulullah yang tersentuh dengan dakwah Baginda SAW.

“Peristiwa Ubai bin Khalaf dan Utbah memberi pengajaran bahawa kita harus memilih sahabat yang membawa kepada hidayah, bukan yang mengheret kepada kesesatan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa masa semakin pantas berlalu, dan kematian tidak mengenal usia.

“Hijrah hari ini adalah untuk menjadi ayah yang bertanggungjawab, isteri yang setia, pemimpin yang amanah, anak yang soleh serta usahawan yang bertakwa.

"Itulah sebenar-benar hijrah yang mengubah jiwa dan menyumbang kepada kesejahteraan ummah,” tambahnya.

Terdahulu, program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta yang dikelolakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu dimulakan dengan ketibaan dif-dif kehormat.


Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menjunjung kasih meraikan keberangkatan tiba Tengku Mahkota Kelantan YTM Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni almarhum Sultan Ismail Petra.

Doa Akhir Tahun 1446H dibaca oleh Mufti Negeri Kelantan Sahibus Samahah Dato' Kaya Perba Mohamad Shukri Mohamad sebelum azan Maghrib diikuti doa Awal Tahun 1447H dan solat Maghrib berjemaah.




MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook