Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

PROJEK LAND FILL MINING KOMERSIL PERTAMA MALAYSIA DILAKSANAKAN DI KELANTAN
utama

PROJEK LAND FILL MINING KOMERSIL PERTAMA MALAYSIA DILAKSANAKAN DI KELANTAN


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 18 Jun – Kelantan mencipta sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia melaksanakan Projek Land Fill Mining (LFM) secara komersil, sekali gus meletakkan negeri ini di hadapan dalam usaha pengurusan sisa pepejal berasaskan teknologi mampan dan ekonomi kitaran.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah memaklumkan bahawa projek tersebut sedang dilaksanakan oleh Perbadanan Sisa Pepejal Mubaarak (PSPM) di tiga lokasi utama iaitu Tapak Pelupusan Beris Lalang (Bachok), Kok Bedolah (Tumpat) dan Bukit Che Ros (Tanah Merah).

Katanya, PSPM merupakan syarikat usahasama strategik antara Kumpulan Utilities Mubaarakan Holdings (KUM) selaku anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Greenviro Solutions Sdn Bhd.

“Ketiga-tiga tapak pelupusan ini telah berjaya ditransformasi daripada ‘open dumping site’ kepada ‘sanitary land fill’ dan kini Beris Lalang muncul sebagai lokasi pelaksanaan pertama Land Fill Mining komersil di negara ini yang digabungkan dengan teknologi Bio-Drying,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, hari ini.


Menurut beliau, kaedah LFM membabitkan proses melombong semula sisa pepejal lama (legacy waste) yang telah dilupuskan sejak puluhan tahun lalu, bagi membolehkan pemulihan tanah tapak pelupusan secara menyeluruh.

Sisa-sisa yang dikorek akan diproses menggunakan sistem Material Recovery Facility (MRF) untuk pengasingan bahan seperti plastik, logam, kaca dan bahan organik, seterusnya menghasilkan baja kompos serta Refuse Derived Fuel (RDF) sebagai bahan api alternatif.

YB Hilmi menjelaskan, penggunaan kaedah Bio-Drying ke atas sisa sebelum disaring melalui MRF bukan sahaja mengurangkan bau dan menyahaktif patogen, tetapi juga mempercepatkan proses pengeringan dan penstabilan bahan organik untuk menghasilkan kompos yang selamat, bersih dan bernilai pasaran.

“Projek ini bukan hanya soal pengurusan sisa, tetapi satu pelaburan strategik untuk kelestarian alam sekitar, peningkatan sektor pertanian negeri dan jangka hayat ekonomi Kelantan dalam jangka masa panjang,” katanya yang turut merasmikan projek tersebut di Beris Lalang, semalam.


Pengarah Urusan Dwitekno Mohd Fadzil Zamrod juga menyatakan bahawa tumpuan utama projek ini adalah kepada pemulihan empat komponen sisa utama iaitu bahan organik untuk penghasilan kompos, plastik lembut pakai buang, plastik keras bernilai dan logam untuk dikitar semula.

“Setakat ini, kapasiti pemprosesan harian berada pada tahap 50 tan dan disasarkan meningkat kepada 500 tan sehari dalam tempoh empat tahun. Sekurang-kurangnya 30 peratus daripadanya akan menghasilkan kompos, manakala 20 peratus lagi terdiri daripada bahan kitar semula bernilai,” ujarnya dalam sidang media selepas perasmian majlis pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan bahawa dua teknologi utama diterapkan dalam projek ini ialah penghasilan bahan api daripada sisa (Refuse Derived Fuel - RDF) untuk kegunaan industry dan sistem pirolisis yang menukar plastik sukar dikitar semula kepada diesel industri.

Tambah Mohd Fadzil, timbunan sisa pepejal di Beris Lalang mencapai ketinggian sehingga 30 meter dan dijangka memerlukan sekurang-kurangnya 15 tahun untuk diproses sepenuhnya mengikut pendekatan LFM ini.


YB Hilmi menyifatkan kejayaan pelaksanaan projek ini sebagai lonjakan besar ke arah pengurusan sisa berasaskan ekonomi kitaran, seiring dengan hasrat Dasar Kelestarian Alam Sekitar Negeri Kelantan, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan gagasan Kelantanku Bersih, Kelantan Hijau.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan konvensional, malah membuka peluang baharu dalam bidang ekonomi hijau yang lestari dan inklusif,” katanya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook