Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

12 PELAJAR CEMERLANG STPM, STAM 2024 TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN MENTERI BESAR KELANTAN
utama

12 PELAJAR CEMERLANG STPM, STAM 2024 TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN MENTERI BESAR KELANTAN

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM , 3 Julai – Seramai 12 pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 menerima Anugerah Kecemerlangan Menteri Besar Kelantan, berupa wang tunai RM1,000 dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud dalam satu majlis yang berlangsung di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, pada Rabu.

Menteri Besar dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelajar yang berjaya, sambil menyifatkan pencapaian mereka sebagai satu kebanggaan kepada ibu bapa, guru-guru, dan seluruh rakyat negeri Kelantan.

“Alhamdulillah, hari ini kita meraikan anak-anak kita yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam STPM dan STAM. Kejayaan ini bukan sahaja harus diraikan, malah perlu diteruskan apabila mereka melangkah ke alam universiti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para pelajar agar bersedia menghadapi cabaran dan kejutan budaya apabila menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Di sekolah, pelajar dipantau oleh guru, di rumah dipantau oleh ibu bapa. Tapi bila masuk ke menara gading, mereka jauh daripada keluarga dan pensyarah tidak pantau sepertimana guru. Kadang-kadang, pergaulan tanpa batasan boleh menjejaskan pelajaran,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa kecemerlangan bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah kecemerlangan dari segi akhlak.

“Sabda Nabi SAW: ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.’ Kita bukan hanya mahu melahirkan pelajar cemerlang dan cerdik dalam akademik, tetapi juga cemerlang dalam akhlak dan sahsiah. Ini menjadi harapan ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat,” katanya lagi.

Menteri Besar juga turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) menyediakan kemudahan pinjaman pengajian kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Sekiranya pelajar tersebut cemerlang, pinjaman itu akan ditukar kepada biasiswa.

“Pinjaman YAKIN tidak dikenakan faedah seperti pinjaman lain. Jika pelajar cemerlang dalam pengajian mereka, pinjaman tersebut akan ditukar menjadi biasiswa, sekali gus dapat meringankan beban kewangan ibu bapa,” jelasnya.

Beliau juga menekankan pentingnya menjaga hubungan dengan Allah dan ibu bapa.

“Di sini saya ingin berpesan, walaupun di mana sahaja kita berada, utamakan solat, sebaiknya solat secara berjemaah dan jangan sesekali lupa kepada ibu bapa. Mohon restu mereka kerana doa mereka sangat mustajab,” katanya mengakhiri ucapan.

Anugerah ini merupakan satu bentuk penghargaan daripada kerajaan negeri kepada anak-anak Kelantan yang berjaya, serta sebagai dorongan agar mereka terus mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan.


Untuk rekod, bagi peperiksaan STPM 2024 seramai empat dari lapan orang calon yang terbaik peringkat kebangsaan adalah dari Negeri Kelantan dan seorang calon berkeperluan khas adalah terbaik di negeri Kelantan. Manakala di peringkat STAM pula, seramai tujuh orang pelajar mendapat kecemerlangan dengan 10 Mumtaz.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengarah YAKIN, Nik Jessin Tan Sri Nik Hashim dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Zulkifle AB Rahman.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook