Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Hentikan polemik ‘Pesta Songsang’ antara PDRM & NGO Kesihatan – Kerajaan Kelantan seru siasatan adil
Nasionalutama

Hentikan polemik ‘Pesta Songsang’ antara PDRM & NGO Kesihatan – Kerajaan Kelantan seru siasatan adil


KOTA BHARU, 20 Julai 2025 – Kerajaan Negeri Kelantan menyeru agar polemik berpanjangan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan dihentikan, dan sebaliknya memberi keutamaan kepada siasatan yang adil, menyeluruh dan berlandaskan fakta berhubung isu dakwaan ‘pesta seks sejenis’ yang dikaitkan dengan satu acara di sebuah banglo di Kemumin baru-baru ini.

Kerajaan negeri turut mengulangi pendirian tegas untuk tidak bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam dan nilai moral, namun pada masa sama mengingatkan semua pihak agar berlapang dada serta tidak membuat kesimpulan terburu-buru sebelum siasatan selesai.

Beberapa NGO termasuk Suaram, Women’s Aid Organisation (WAO), Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan Amnesty International Malaysia menafikan sebarang unsur seksual dalam program tersebut, sebaliknya menjelaskan ia merupakan sesi pendidikan dan pemeriksaan kesihatan seksual. Majlis AIDS Malaysia (MAC) pula menyatakan bahawa program itu dijalankan di bawah model Perkhidmatan HIV Berbeza untuk Populasi Utama (DHSKP) yang disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dalam kenyataan beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap konsisten dengan prinsip amar makruf nahi mungkar.

“Apa jua bentuk kemungkaran yang cuba dinormalisasikan tidak akan diberi ruang untuk bertapak di negeri ini,” tegas beliau.

Namun, beliau menggesa agar semua pihak memberi ruang kepada siasatan yang profesional dan berintegriti.

“Siasatan rapi dan menyeluruh mesti dijalankan agar tidak ada pihak menjadi mangsa salah faham, fitnah atau hukuman masyarakat sebelum kebenaran ditentukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan tegas dan menyeru agar semua pihak, termasuk NGO, memainkan peranan secara konstruktif dalam menjaga keharmonian masyarakat.

Menurut beliau, jika dakwaan pihak polis berasas, tindakan undang-undang mesti diambil terhadap mereka yang terlibat. Namun, jika penjelasan NGO terbukti benar, maka pembetulan perlu dilakukan demi keadilan dan ketelusan.

Kerajaan negeri turut menegaskan kepentingan mematuhi garis panduan serta mendapatkan kebenaran pihak berkuasa sebelum menganjurkan program, terutamanya yang berisiko menimbulkan kekeliruan awam.

“Sekiranya benar peserta program datang dari luar Kelantan dan tidak melibatkan rakyat negeri ini, maka fakta tersebut perlu diperjelaskan agar rakyat Kelantan tidak menjadi mangsa tuduhan dan cercaan,” ujar beliau.

Menutup kenyataan, beliau menekankan komitmen Kerajaan Kelantan dalam menjunjung dasar Membangun Bersama Islam serta mempertahankan kebenaran melalui pendekatan yang berhemah, adil dan berpaksikan rahmat Islam.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook