Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Festival Cita Rasa Warisan@Pantai Timur: Kelantan ke arah Kota Kreatif Gastronomi UNESCO
utama

Festival Cita Rasa Warisan@Pantai Timur: Kelantan ke arah Kota Kreatif Gastronomi UNESCO


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 27 Ogos – Kelantan bakal sekali lagi meneguhkan gelarannya sebagai syurga makanan apabila Festival Cita Rasa Warisan@Pantai Timur menampilkan 150 juadah tradisional mewakili 10 jajahan, termasuk menu istimewa minuman, manisan, serta hidangan langka yang jarang ditemui.

Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara Jabatan Warisan Negara Dr. Eyo Leng Yan berkata, festival yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 September ini bukan sekadar pesta makanan, sebaliknya sebuah pentas memartabatkan warisan gastronomi yang menjadi identiti negeri.

“Daripada 213 elemen warisan kebangsaan yang telah diwartakan sebagai warisan tidak ketara, Kelantan merekodkan jumlah paling tinggi. Ini bukti betapa kaya dan luasnya khazanah budaya negeri ini,” katanya dalam sidang media sempena program itu di sebuah hotel di sini, hari ini.


Antara hidangan nadir yang akan dipersembahkan termasuk Nasi Seratus yang hampir pupus, Kerabu Beko, Itik Solor, Gulai Daun Kilek yakni sejenis daun yang pahit pada asalnya tetapi berubah menjadi enak apabila dimasak dengan kaedah tradisi serta juadah unik seperti Ros Lidah.

Menurutnya lagi, selain demonstrasi masakan, acara “Jom Bekwoh” akan menghidupkan kembali tradisi gotong-royong kampung seperti mengukur kelapa dan memerah santan secara manual.

Persembahan gubahan pulut kuning dan sirih junjung turut melengkapkan nuansa adat. Lebih menarik, selebriti kulinari terkenal, Dato’ Chef Ismail akan bersama rakyat bagi meraikan warisan berkenaan.

Festival turut diserikan dengan acara Hungga Semutar melibatkan 1,000 peserta, pesta sarapan Nasi Berlauk, serta pesta makan Nasi Tumpang.






Dr. Eyo berkata, selain makanan, warisan budaya seperti wayang kulit, Mak Yong, dikir barat dan menora juga dipentaskan, menampilkan lebih 200 penggiat seni tempatan.

Tambahnya, Kelantan boleh meneladani pengalaman antarabangsa apabila Kuching, Sarawak diiktiraf UNESCO sebagai Kota Kreatif Gastronomi pertama negara, manakala Phuket, Thailand turut memegang status serupa.

Kemuncak festival akan menyaksikan Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra, berkenan merasmikan pelancaran Road to Kota Bharu Creative City of Gastronomy ke UNESCO pada Jumaat, 6 September.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) Nik Mohamad Fahmi Nik Daud pula menegaskan bahawa kekayaan makanan warisan, khususnya suasana meriah Bazar Ramadan, menjadi bukti keunikan Kota Bharu.

“Kami yakin, dengan kepelbagaian juadah warisan dan komitmen komuniti, pengiktirafan Kota Bharu sebagai Kota Kreatif Gastronomi akan dapat dicapai,” ujarnya.


Manakala Presiden Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC), Nik Faiz Nik Amin pula memberi justifikasi festival berprestij tersebut dipilih berlangsung di Kota Bharu kerana prasarana lengkap yang mampu menampung dua pengiktirafan serentak iaitu Kota Kraf Dunia dan Kota Kreatif Gastronomi UNESCO.

“UNESCO telah memberi mandat untuk kita mempromosi warisan seni tak ketara. Momentum positif hanya dapat digerakkan apabila semua pemain industri bersatu hati, melahirkan sinergi yang organik dan berterusan,” jelasnya.

Sebanyak 70 penggiat makanan warisan terdiri daripada tenaga veteran dan belia yang bakal menggerakkan reruai jualan percuma sepanjang festival di Stadium Sultan Muhammad IV.

"Program jerayawara bersama pempemgaruh telah pun digerakkan ke seluruh negeri bagi menarik pengunjung.

"Dengan kerjasama dan sokongan padu semua pihak, kita yakin festival ini mampu mengangkat gastronomi Kelantan ke pentas dunia.

"Sekali gus menjadikan setiap juadah bukan sekadar hidangan di pinggan, tetapi lambang identiti, sejarah, dan kearifan tempatan," ujarnya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook