Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Kelantan akan roboh jeti haram di sepanjang Sungai Golok
utama

Kelantan akan roboh jeti haram di sepanjang Sungai Golok

YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan,
Timbalan Menteri Besar Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 13 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan bakal mengambil tindakan tegas dengan merobohkan semua jeti di pengkalan haram sepanjang Sungai Golok dalam masa terdekat bagi membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya dadah, di sempadan Malaysia-Thailand.

Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan itu diambil demi menjaga keselamatan negeri dan negara, serta melindungi golongan muda daripada menjadi mangsa penyalahgunaan dadah.

“Objektif utama perobohan jeti di pengkalan haram ini adalah untuk memastikan aktiviti penyeludupan berkurangan. Kita tahu dadah masuk ke Malaysia melalui Kelantan, dan negeri ini menjadi pintu masuk utama. Jadi anak-anak muda kita yang akan terkesan lebih dahulu,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan tersebut dilakukan hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan beberapa agensi penguatkuasaan dan agensi-agensi lain.

“Operasi perobohan ini akan dilakukan dalam masa terdekat. PBT akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk melaksanakan operasi ini dengan segera,” jelasnya.

Menurut beliau, jeti-jeti haram terbabit akan tetap dirobohkan meskipun ia dibina di atas tanah persendirian.

“Walaupun jeti tersebut dibina di atas tanah milik individu, namun ia tidak boleh dianggap sah kerana tidak mematuhi peraturan undang-undang antarabangsa, dan tidak akan diberi pampasan,” tegasnya.

Dato’ Dr Mohamed Fadzli turut mengakui kemungkinan ada pihak yang menggunakan jeti haram itu untuk tujuan baik seperti menyeberang menziarahi keluarga di Thailand, namun ia tetap menimbulkan risiko keselamatan.

“Apa yang membimbangkan kita ialah penyalahgunaan jeti-jeti haram ini untuk aktiviti penyeludupan, khususnya dadah. Maka kerajaan terpaksa mengambil tindakan ini demi kemaslahatan rakyat, negeri dan negara,” ujarnya.

Beliau turut menyeru kepada orang ramai agar mematuhi undang-undang dengan menggunakan pintu masuk yang sah sekiranya ingin ke negara jiran.

“Kita hendak ke luar negara, mestilah melalui pintu masuk rasmi seperti yang ditetapkan pihak imigresen. Jeti-jeti haram ini tidak mengikut peraturan dan itulah sebab ia dinamakan jeti haram,” tambah beliau.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 128 buah jeti haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor di Tumpat hingga Rantau Panjang di Pasir Mas akan dirobohkan setelah mendapat surat kebenaran daripada kerajaan negeri.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook