Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Penjawat awam digesa jadi pemaklum dasar kebajikan negeri
utama

Penjawat awam digesa jadi pemaklum dasar kebajikan negeri

YB Nor Asilah Mohamed Zin ,
Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 3 Ogos – “Skim Kifaalah sudah 18 tahun dan Az-Ziwaj pula sudah 15 tahun dilaksanakan kerajaan negeri, maka penjawat awam perlu menjadi pemaklum setia dasar ini agar rakyat tidak terlepas manfaatnya,” tegas Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohamed Zin semasa menyampaikan tausiah dalam Program Kuliah Duha di Dewan Seminar Mabna, hari ini.

Menurutnya, tanggungjawab penjawat awam bukan sahaja terhad kepada pelaksanaan dasar bahkan mereka turut memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat dasar kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Kita tidak mahu rakyat tidak tahu tentang apa yang kerajaan negeri sudah usahakan untuk kebajikan mereka. Bila rakyat tanya, penjawat awam mesti mampu menjawab dengan yakin dan jelas,” katanya merujuk kepada dua skim kebajikan utama kerajaan negeri iaitu Skim Kifaalah yang diperkenalkan sejak tahun 2007 dan Skim Az-Ziwaj bermula tahun 2009.

Beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat selama ini perlu disebarluaskan melalui saluran yang paling dekat dengan rakyat iaitu penjawat awam.

“18 tahun kerajaan negeri jaga kebajikan warga emas Kelantan yang meninggal dunia melalui Kifaalah. Skim Az-Ziwaj pula bantu meringankan beban pasangan muda yang mahu mendirikan rumah tangga. Penjawat awam ialah tulang belakang yang mesti bantu sebarkan perkara ini. Jangan sampai rakyat tak tahu hak mereka,” katanya lagi.


Dalam perkongsian tersebut, YB Nor Asilah turut menekankan kepentingan penghayatan sistem hidup berlandaskan syariat Islam, yang menurutnya telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai sistem terbaik untuk manusia menjalani kehidupan dengan tenang, bahagia dan bermakna.

“Syariat bukan semata-mata hukum-hakam, tetapi sistem kehidupan yang lengkap daripada ibadah, harta, pusaka, hinggalah ke tempat kerja yang menekankan disiplin dan pematuhan. Sistem itu tidak gagal, yang gagal ialah kita apabila kita memesongkan peraturannya,” ujarnya.

Beliau juga berterima kasih kepada seluruh penjawat awam negeri yang terus berkhidmat dengan komitmen tinggi, serta menyeru agar semua pihak menjaga integriti pentadbiran agar seiring dengan roh syariah yang menekankan keadilan dan amanah.

“Apabila hati bersih, kita akan memimpin kehidupan dengan sejahtera. Bila jiwa kita kotor, kita terdorong kepada penyelewengan. Ibadat itu termasuk bekerja jadi kita mesti tunaikan tanggungjawab dengan penuh rasa kehambaan,” katanya.

Beliau turut memetik pandangan ulama tersohor Dr. Yusuf al-Qaradawi bahawa jiwa manusia sentiasa memerlukan pertolongan Allah SWT untuk bebas daripada kepalsuan hidup.

“Tengok pada hati, adakah kita ikhlas atau hanya pura-pura? Jadilah mukmin sebenar yang harapkan reda Allah SWT. Bukan manusia yang palsu yang harapkan dunia semata-mata,” pesannya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook