Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

 Pendukung PAS pikul tugas besar pertahan kerajaan Islam
utama

Pendukung PAS pikul tugas besar pertahan kerajaan Islam


PENGKALAN CHEPA: Pendukung PAS berhadapan dengan tugas besar untuk mempertahankan kerajaan Islam di Kelantan untuk generasi akan datang.

Pesuruhjaya PAS Negeri Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, PAS di Kelantan lebih 35 tahun dianugerah kemenangan sehingga sekarang.  

Katanya, setiap pendukung PAS perlu bermuhasabah, menilai dan mengukur gerak kerja serta mengukuhkan kesatuan dan fikrah sebagai anggota gerakan Islam.

“Konvensyen kali ini sangat penting dan kita bakal menyambut ulangtahun ke-70 PAS Kelantan dan 35 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam.

“Tujuh dekad perjuangan PAS Kelantan telah melakar sejarah jatuh bangun yang penuh pengajaran daripada kemenangan sulung 1959, kekalahan 1978, hingga kebangkitan gemilang 1990,” katanya pada Konvensyen PAS Kelantan di PUTIK semalam.  

Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Speaker DUN Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Setiausaha PAS negeri Dato’ Wan Roslan Wan Hamat. 

Ustaz Ahmad juga berkata, selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam diuji dengan timbul bibit-bibit kelompok dan perebutan kuasa. 

Zaman Abbasiyah pula menyaksikan khalifah kehilangan autoriti akibat perebutan wilayah, dominasi tentera upahan serta pertelingkahan mazhab sehingga melemahkan Baghdad.


Kata beliau peristiwa tersebut membuka jalan kepada serangan Monggol pada tahun 1258 dan kemuncaknya apabila Khilafah Uthmaniyah runtuh pada 1924.

“Barat meniup nasionalisme sempit, memecah tanah Arab melalui perjanjian Sykes–Picot (1916) dan membuka jalan kepada projek Zionis menerusi Deklarasi Balfour pada 1917. 

“Hari ini, perang saudara di Syria, Yaman, Iraq dan ‘perang proksi’ mazhab mengulangi pola lama, musuh luar menyemarakkan sentimen perpecahan dan perbalahan fikrah pula dilaga-lagakan untuk meruntuhkan kesatuan umat Islam,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, dalam menghadapi realiti sekarang, PAS Kelantan kekal istiqamah menyokong perjuangan Palestin.

Katanya solidariti tersebut sebahagian daripada tanggungjawab umat Islam mempertahankan maruah dan kedaulatan saudara seakidah dan kemanusiaan sejagat. 

Selain itu mendidik rakyat melalui kesedaran kewajipan agama, politik bantuan kemanusiaan dan diplomasi rakyat.

“Namun, geopolitik hari ini tidak hanya berkisar di Asia Barat sahaja. Di rantau kita, Indonesia, jiran serantau terbesar sedang menyaksikan gelombang demonstrasi rakyat menuntut isu-isu keadilan sosial dan politik. 


“Perkembangan ini menjadi isyarat jelas bahawa kestabilan politik serantau boleh memberi tempias kepada kita.

“Iktibarnya jelas selagi umat bersatu, musuh sukar menembusi. Maka PAS Kelantan mengutamakan ukhuwah dan ta’awun, mengurus khilaf furu’ dengan penuh hikmah dan bijaksana,” tambahnya.

Menurutnya mempertahankan kerajaan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam selepas 35 tahun bukan sekadar soal politik, bahkan merupakan tuntutan agama dan umat Islam.

Sementara itu Wan Roslan berkata, Konvensyen PAS Kelantan 2025 menjadi medan penting untuk memperkukuh hala tuju perjuangan Islam di negeri itu. 

Katanya, program itu berjaya menghimpunkan pimpinan, perwakilan serta ahli-ahli parti bagi membincangkan agenda besar untuk kelangsungan dakwah dan pembangunan negeri.


“Konvensyen kali ini turut memberi penekanan terhadap isu-isu semasa yang melibatkan kebajikan rakyat, dasar pentadbiran kerajaan serta strategi memperkukuh perpaduan ummah. 

“Segala cadangan dan perbincangan yang dikemukakan akan menjadi asas dalam memperkasakan gerak kerja parti serta pentadbiran negeri agar terus berada di landasan Islam,” katanya.

Di samping itu, konvensyen tersebut juga memperlihatkan semangat ukhuwah yang kukuh dalam kalangan ahli dan perwakilan.

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook