Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Projek ECRL buka peluang kontraktor Bumiputera G1, G2 laksanakan kerja-kerja di sekitar stesen
utama

Projek ECRL buka peluang kontraktor Bumiputera G1, G2 laksanakan kerja-kerja di sekitar stesen

Gambar 1: YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj b. Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Kelantan (ketiga dari kiri) membuat cabutan undi bagi pakej kerja sub-kontraktor Bumiputera G1 dan G2 bagi Projek ECRL di Negeri Kelantan diiringi oleh En. Ruan Xinming, Timbalan Pengurus Besar Projek CCCECRL (pertama dari kiri), Dato’ Sri Darwis Abd Razak, Ketua Pegawai Eksekutif MRL (kedua dari kiri) dan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (keempat dari kiri)

Oleh: Asri Hamat

Kota Bharu, 24 Oktober – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terus membuka ruang dan peluang rezeki kepada kontraktor kecil Bumiputera apabila 85 syarikat tempatan gred G1 dan G2 yang berdaftar di Kelantan, Terengganu dan Pahang telah berjaya dipilih untuk menyertai Majlis Cabutan Undi Pakej Kerja Bumiputera bagi melaksanakan pelbagai kerja kecil di 15 stesen ECRL sepanjang jajaran Pantai Timur.

Projek tersebut merangkumi pelaksanaan pakej-pakej kerja kecil seperti pemasangan papan tanda, penyediaan perabot jalan, pemasangan pagar serta kerja-kerja pengurusan landskap (turfing) di 15 stesen ECRL yang terletak di jajaran Pantai Timur.

Langkah tersebut menzahirkan komitmen MRL dan CCC (ECRL) untuk memperkukuh penyertaan kontraktor Bumiputera tempatan, di samping memastikan manfaat ekonomi Projek ECRL yang bernilai RM50.27 bilion itu turut dirasai secara langsung oleh masyarakat setempat.

Gambar 2: Stesen ECRL Kota Bharu yang dalam fasa pembinaan

Majlis cabutan undi bagi memilih kontraktor terlibat di Kelantan diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan dan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal pada Khamis.

Majlis cabutan undi berkenaan melibatkan kerja-kerja di dua stesen ECRL di Kelantan, sementara majlis cabutan undi untuk enam stesen di Terengganu dijadual berlangsung pada 29 Oktober dan tujuh stesen di Pahang pula pada 30 Oktober di ECRL Basecamp KotaSAS, Kuantan.

Proses penilaian bagi lima stesen di Selangor pula sedang berjalan dan dijangka selesai menjelang akhir November 2025.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, majlis cabutan undi untuk para kontraktor Bumiputera G1 dan G2 itu mencerminkan sokongan dan komitmen Projek ECRL menyantuni kontraktor kecil Bumiputera dalam fasa pembinaan infrastruktur nasional yang merangkumi 20 stesen di sepanjang jajaran relnya dari Kota Bharu hingga Pelabuhan Klang.

“MRL dan CCC (ECRL) telah memperteguh usaha dalam membolehkan nilai kontrak projek mega ini akan sedikit sebanyak memberi manfaat dan impak positif kepada kontraktor kecil Bumiputera yang berkebolehan di sepanjang jajaran ECRL.

"Penglibatan ini akan memperkasa bakat tenaga kerja mahir tempatan dan menyokong kelangsungan kumpulan kontraktor Bumiputera,” katanya menerusi siaran media ECRL pada Khamis.

Untuk rekod, projek ECRL yang melibatkan pembinaan rel sejauh 665 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang kini telah mencapai 88.08 peratus kemajuan keseluruhan setakat September 2025.

Jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka siap Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027, manakala Fasa 2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijadualkan siap Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

MRL dan CCC (ECRL) bersetuju untuk memperuntukkan 40 peratus penyertaan kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil bernilai sehingga RM10.8 bilion, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan manfaat projek mega ini dinikmati oleh rakyat tempatan dan komuniti Bumiputera di seluruh negara.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook