Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Kelantan bimbang Perjanjian Malaysia–AS jejas hak nadir bumi negeri
utama

Kelantan bimbang Perjanjian Malaysia–AS jejas hak nadir bumi negeri


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 3 November – Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan menjelaskan bahawa kebimbangan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat berkaitan nadir bumi (REE) adalah berasas kerana hal itu berpotensi menjejaskan hak negeri sebagai pemilik sumber mineral.

Beliau berkata, menurut Perlembagaan Persekutuan, semua hasil bumi termasuk REE yang berada dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri. Sebarang aktiviti melibatkan perlombongan serta pelesenan perlu mendapat kebenaran kerajaan negeri.

"Namun perjanjian Malaysia dengan Amerika Syarikat bertarikh 26 Oktober 2025 telah memasukkan satu klausa yang sangat membimbangkan negeri-negeri pengeluar termasuk Kelantan.

Ini bermakna hak negeri untuk menentukan dasar perlombongan sendiri boleh terjejas,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi pada 30 Oktober.

Tambahnya, klausa yang berbunyi “Malaysia shall refrain from banning, or imposing quotas on, exports to the United States of critical minerals or rare earth…” membawa maksud kewajipan undang-undang, bukan pilihan.

Sekiranya ia dipatuhi tanpa rundingan bersama negeri pengeluar seperti Kelantan, katanya, ia menafikan kuasa negeri yang termaktub dalam Perlembagaan.

Dato’ Dr. Mohamed Fadzli turut mengibaratkan situasi itu seperti “sawah sendiri, tetapi orang lain yang menjual padi”.

"Kita yang menanam, menjaga dan menuai, tetapi orang lain menjual hasilnya tanpa kita tahu harga sebenar.

Itulah kebimbangan kami — negeri memiliki sumber, tetapi hak menentukan hala tuju ekonominya mungkin berpindah tangan,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mempunyai pelan pembangunan REE tersendiri yang merangkumi penerokaan, pemprosesan serta penghasilan produk bernilai tinggi.

Tambahnya, Kelantan juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lynas, salah satu syarikat utama dunia dalam pemprosesan nadir bumi.

"Kami tidak menolak pelaburan luar, malah mengalu-alukannya. Namun, hak memilih rakan industri yang memberi manfaat terbaik kepada rakyat Kelantan mesti kekal di tangan kerajaan negeri,” tegasnya.

Menurutnya, kebimbangan itu juga berpunca daripada pengalaman lama berkaitan isu royalti petroleum.

"Rakyat Kelantan masih ingat bagaimana hasil minyak di perairan negeri tidak disalurkan dalam bentuk royalti seperti dijanjikan. Kami tidak mahu perkara itu berulang terhadap REE,” katanya.

Dato’ Dr. Mohamed Fadzli turut menegaskan bahawa REE merupakan sumber strategik dunia dan penting dalam teknologi moden seperti telefon pintar, kenderaan elektrik, turbin tenaga hijau dan sistem pertahanan.

"Kelantan mahu memilih rakan perniagaan dengan berhati-hati. Kita mahukan harga terbaik, teknologi terbaik dan manfaat terbesar kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri menyeru agar kerajaan persekutuan melibatkan negeri-negeri pengeluar dalam setiap rundingan antarabangsa berkaitan REE.

"Jangan ulangi kesilapan lama seperti isu petroleum. Kami mahu pembangunan yang adil dan telus yang menjamin pekerjaan kepada rakyat, hasil kepada negeri, dan kelestarian alam sekitar,” tegasnya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook