Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Kelantan sumbang 31 peratus Tenaga Boleh Diperbaharui pada 2025, sasar 46 peratus menjelang 2027
utama

Kelantan sumbang 31 peratus Tenaga Boleh Diperbaharui pada 2025, sasar 46 peratus menjelang 2027


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 12 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda tenaga hijau dengan mencatat sumbangan 31 peratus tenaga boleh diperbaharui pada 2025, dan menyasarkan peningkatan kepada 46 peratus menjelang 2027, sebagai sebahagian daripada komitmen negeri menyokong dasar tenaga lestari negara.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata pembangunan sektor tenaga hijau di Kelantan memberi tumpuan kepada tenaga hidro dan solar yang menjadi tonggak utama bagi mencapai sasaran tersebut.

“Projek Hidro Pergau (Sultan Ismail Petra) yang beroperasi sejak tahun 2003 dengan kapasiti 600 megawatt (MW) merupakan loji hidro bawah tanah terbesar di Semenanjung Malaysia. Sementara itu, Empangan Hidro Elektrik Nenggiri (Nenggiri HEP) yang sedang dibina dijangka siap pada 2027 dengan kapasiti 300 MW, menjadi projek tenaga boleh diperbaharui terbesar milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di negeri ini.

“Projek Hidro Kecil Sungai Kenerong pula menyumbang tambahan 20 MW ke grid tenaga,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok, YB Zuraidin Abdullah, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas 2025, hari ini.

Bagi tenaga solar, beliau menjelaskan Projek Solar Terapung Danau Tok Uban, yang terbesar di Malaysia, telah mula beroperasi pada Januari tahun ini dengan kapasiti 60 MW. Kerajaan negeri turut merancang projek hibrid hidro-solar di Pergau pada 2026 dengan kapasiti 45 MW berserta sistem penyimpanan tenaga (BESS).

Tambahnya, Projek Solar Darat LSS5 oleh Samaiden Berhad, di bawah perjanjian pajakan tanah seluas 400 ekar dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), dijangka menghasilkan hampir 100 MW, bersamaan 150 gigawatt-jam (GWh) tenaga setahun. Manakala tiga projek hidro kecil Malakoff (Sungai Galas) yang berkapasiti 84 MW masih dalam pembinaan.

“Walaupun lebih 95 peratus kapasiti penjanaan tenaga di Kelantan kini datang daripada sumber hijau, kadar penyerapan ke dalam grid nasional masih terbatas akibat kekangan sambungan grid.

Namun begitu, dengan siapnya projek-projek utama termasuk Nenggiri HEP dan LSS5, negeri dijangka mampu meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 46 peratus menjelang 2027.

“Kelantan kini berada di landasan kukuh dalam memacu penggunaan tenaga hijau, sekali gus memperkukuh keupayaan negeri menjana tenaga mampan dan menyumbang kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui negara,” ujarnya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook