Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

PBT diseru pastikan pengurusan, pembangunan dan pengawasan aktiviti ekonomi di pasar lancar
utama

PBT diseru pastikan pengurusan, pembangunan dan pengawasan aktiviti ekonomi di pasar lancar


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 2 November – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi-agensi berkaitan diseru memainkan peranan secara berkesan sebagai wakil kerajaan dalam memastikan pengurusan, pembangunan dan pengawasan aktiviti ekonomi berjalan dengan lancar dan berlandaskan nilai-nilai Islam.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pengawasan ekonomi dalam Islam amat penting bagi menjamin kesejahteraan masyarakat, sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang berperanan sebagai muhtasib iaitu pengawas pasar yang memastikan urus niaga dijalankan dengan jujur, adil dan bebas daripada amalan tidak bermoral.

"Dalam Islam, setiap aktiviti ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada nilai moral dan prinsip akhlak yang luhur serta prinsip persaingan sihat, keadilan, kejujuran dan keterbukaan agar hak antara penjual dan pembeli terpelihara,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pasar Siti Fatimah di Berek 12, di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, keberkatan dalam mencari rezeki harus menjadi keutamaan kerana perniagaan bukan semata-mata untuk keuntungan, sebaliknya satu bentuk ibadah bagi memperoleh keredaan Allah SWT.


“Inilah keindahan Islam dalam perniagaan yang mesti ditonjolkan,” ujarnya lagi.

Menteri Besar turut memetik pandangan Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin yang menjelaskan bahawa pasar bukan sekadar tempat jual beli, tetapi medan pembentukan akhlak di mana kejujuran dan keadilan menjadi asas kepada keberkatan rezeki dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan para peniaga supaya mengamalkan sikap bertimbang rasa seperti yang dipesan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:

“Semoga Allah merahmati seseorang yang bersikap mudah apabila menjual, membeli, dan menuntut haknya.”

Menurutnya lagi, penghayatan konsep Membangun Bersama Islam perlu dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya dalam kalangan kepimpinan kerajaan negeri dan penjawat awam, tetapi juga peniaga serta pembeli.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengambil langkah menambah baik pelaksanaan elemen penghayatan agama dalam kalangan masyarakat seperti meletakkan doa masuk pasar di pintu masuk agar masyarakat dapat mengamalkan doa ketika memasuki pasar.

Beliau turut membaca hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Umar r.a. yang menjanjikan ganjaran besar bagi sesiapa yang membaca doa khusus ketika memasuki pasar.

Pesannya sesiapa yang membaca,

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد يحيي و يميت وهو حي لا يموت بيده الخير وهو على كل شيء قدير

Maka Allah menetapkan satu juta kebaikan, menghapuskan satu juta kejahatan dan mengangkat kedudukannya sebanyak satu juta darjat.” (Riwayat al-Tirmizi).

Mengakhiri ucapannya, Dato’ Mohd Nassuruddin menyeru agar pasar yang dibangunkan dijaga dengan sebaiknya dari segi pengurusan, kebersihan, keselamatan dan keselesaan, supaya para pengunjung sentiasa berasa senang hati ketika berurusan.

“Saya amat mengharapkan agar pasar ini dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi contoh kepada pembangunan ekonomi berteraskan Islam di negeri Kelantan,” katanya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook