Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Shariah Life: “Mewajah Kelantan Sejahtera” perkukuh identiti Kelantan berprinsip islami
utama

Shariah Life: “Mewajah Kelantan Sejahtera” perkukuh identiti Kelantan berprinsip islami


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 20 November – Program Shariah Life bertemakan “Mewajah Kelantan Sejahtera” yang diadakan hari ini mengukuhkan lagi keyakinan bahawa identiti negeri Kelantan berasaskan keteguhan prinsip Islam, sekali gus menjunjung Maqasid Shariah sebagai teras pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, gabungan antara prinsip Islam dan Maqasid Shariah menjadi ramuan utama dalam mengatur, merancang serta membangunkan negeri, agar pencapaian pembangunan sentiasa selari dengan tuntutan agama dan membawa keberkatan kepada seluruh rakyat.

“Apa yang kerajaan negeri laksanakan adalah manifestasi perintah Allah SWT untuk dipatuhi dengan penuh tanggungjawab.

"Bahkan perintah tersebut turut diiringi dengan peringatan agar tidak menjadikan nafsu sebagai kiblat dalam apa sahaja urusan kehidupan termasuk hal ehwal mentadbir negeri."


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Shariah Life: Mewajah Kelantan Sejahtera, tahun 1447H/2025M, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambahnya, penghayatan terhadap prinsip syariah akan menyerlahkan wawasan besar Negeri Kelantan yang berpegang teguh kepada dasar “Membangun Bersama Islam” sebagai panduan utama pentadbiran kerajaan negeri.

Dasar tersebut merangkumi kekuatan agenda keagamaan, pendidikan, ekonomi, pelaburan serta pembangunan negeri. Strategi Merakyat Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan pada fasa pentadbiran lalu kini diperkukuh melalui pendekatan baharu, iaitu Penghayatan Membangun Bersama Islam.

"Syariah Islam tidak boleh dilihat hanya dalam kerangka undang-undang, tetapi turut merangkumi akidah, ibadah, muamalat, akhlak, siasah dan kemasyarakatan,” jelasnya.


Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan terus melangkah ke hadapan dengan mengikut kehendak Islam dan tidak pernah mengabaikan keperluan pembangunan negeri, sebaliknya terus komited menyediakan fasiliti dan prasarana demi keperluan rakyat.

“Siapa sahaja yang menjadi kerajaan, tanggungjawab membangunkan negeri hendaklah dilaksanakan.

"Namun ke mana kita pimpin rakyat untuk menjadi hamba Allah yang tunduk dan patuh kepada syariah-Nya memerlukan dasar yang kukuh dalam mengemudi bahtera kuasa ini,” ujarnya.

Program Shariah Life tahun 1447H/2025M turut menampilkan 11 pembentangan kertas kerja oleh pakar dalam pelbagai bidang, antaranya, dalam aspek Pentadbiran dengan tajuk 'Leadership of Prophet Muhammad SAW' dibentang oleh Profesor Dr. Yon Machmudi dari Universitas Indonesia.

Dalam aspek perundangan, pembentangan oleh Peguambela & Peguamcara, Tetuan Mudzafar & Co. Mudzafar Shah Mohamad.

Bagi aspek halalan toyyiba, pembentangan dilaksanakan oleh Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Seberang Perai Prof. Adjung Mohd Amri Abdullah.

Dalam bidang sukan, pembentangan dilaksanakan oleh Dr. Mohd Firdaus Abdullah, dari Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya.


Dalam majlis itu juga Menteri Besar turut melancarkan sebuah buku yang bertajuk: Implementasi Syariah Pada Era AI, karangan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.

Hadir sama, Mantan Menteri Besar YB Dato' Bentara Kanan, Ustaz Dato Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Tengku Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri YB Dato' Rosnazli Amin dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN).



MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook