Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Kelantan sedia bantu kementerian jayakan RMK13
utama

Kelantan sedia bantu kementerian jayakan RMK13


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 17 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan kesediaan untuk membantu setiap kementerian serta mana-mana pihak berkaitan bagi menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kelantan Dato’ Ab. Pattah Hasbullah berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi pelaksana amat penting bagi memastikan projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Wacana Awam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, program wacana awam tersebut merupakan platform penting untuk membolehkan pelbagai pihak membangkitkan isu serta mengemukakan idea bagi pembentukan pelan tindakan RMK13 yang merangkumi tempoh 2026 hingga 2030.


"Sesi ini adalah ruang untuk pihak tuan puan membangkitkan isu dan memberikan idea bagi pelan tindakan RMK13. Rancangan Malaysia ini sangat penting sebagai pelan pembangunan fizikal dan juga bukan fizikal,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil langkah awal dengan menyelaras serta mengemukakan permohonan projek di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) tahun 2026 kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi.

"Alhamdulillah, sebanyak 129 projek baharu telah diluluskan kepada negeri Kelantan di bawah RP1 RMK13. Kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu setiap kementerian atau mana-mana pihak bagi menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan yang telah diluluskan,” jelasnya

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sesi libat urus seperti Wacana Awam RMK13 merupakan pendekatan yang amat konstruktif bagi mendapatkan pandangan rakyat di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan perancangan pembangunan yang digariskan benar-benar menepati keperluan semasa.

Program tersebut menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai latar belakang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil syarikat swasta serta guru-guru, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk melibatkan semua pihak dalam proses perancangan pembangunan.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya Datuk Dr Anis Yusai Yusoff merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atas penganjuran program berkenaan.

Menurutnya, INPUMA merupakan pasukan kajian yang dilantik oleh Kementerian Ekonomi bagi mengenal pasti isu-isu berkaitan penyediaan insentif untuk RMK13.

"Slot ‘Anda Cakap, Kami Dengar dan Catat’ hari ini adalah ruang untuk kami mendengar isu-isu rakyat Kelantan di peringkat akar umbi. Semua data yang diperoleh akan dibincangkan secara fokus bagi memahami isu yang dibangkitkan dan seterusnya menilai kesesuaiannya untuk dijadikan polisi kerajaan,” jelasnya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook