Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Pakat mari Sambutan Ambang Tahun Baharu, kita sama-sama doa, solat hajat dan berselawat – Exco Belia
utama

Pakat mari Sambutan Ambang Tahun Baharu, kita sama-sama doa, solat hajat dan berselawat – Exco Belia


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 31 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) mengajak seluruh rakyat Kelantan khususnya golongan anak muda untuk bersama-sama menyertai program Anak Muda Berselawat sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 yang akan berlangsung pada 31 Disember di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, bermula dengan berjemaah Maghrib.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, penganjuran program tersebut bertujuan mengajak masyarakat menyambut ambang tahun baharu dalam suasana yang lebih bererti melalui pengisian rohani, doa dan muhasabah diri.

Menurutnya, penghujung tahun 2025 wajar dijadikan medan untuk menilai pencapaian diri sepanjang tahun sama ada dalam aspek pendidikan, kerjaya mahupun perniagaan.

“Alhamdulillah kita sudah berada di penghujung 2025, macam mana pencapaian kita di tahun 2025? Semoga semuanya dalam keadaan baik” katanya menerusi hantaran video di laman rasmi semalam.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad

Beliau memaklumkan bahawa program Anak Muda Berselawat anjuran U-BeS itu akan menampilkan pendakwah terkemuka Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid bagi menyampaikan tausiyah dan taujihad kepada para hadirin sebagai panduan rohani dalam melangkah ke tahun 2026.

“Insya Allah, kami bawakan Habib Ali untuk memberikan tausiyah dan taujihad kepada kita semua supaya tahun 2026 ini kita berada di landasan yang betul,” ujarnya.

Tambahnya, program tersebut turut diserikan dengan solat hajat yang akan diimamkan oleh Tuan Guru Syeikh Wazir sebagai simbolik munajat dan doa agar tahun baharu yang bakal tiba membawa keberkatan serta kebaikan kepada seluruh rakyat.

“Malam itu juga kita akan mengadakan solat hajat yang akan diimamkan oleh Syeikh Wazir,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Kelantan terutamanya golongan belia untuk hadir beramai-ramai bagi sama-sama berdoa agar tahun 2026 menjadi tahun yang lebih baik dalam aspek pendidikan, kerjaya, keluarga dan rezeki yang berkat.

“Jadi pakat-pakat mari terutamanya anak muda. Kita berdoa supaya 2026 ini baik untuk pendidikan, kerjaya, keluarga dan rezeki kita bertambah dan boleh membayar zakat,” katanya.

Beliau turut mengajak semua anak Kelantan untuk hadir ke Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV pada malam 31 Disember bermula solat Maghrib sebagai tanda kebersamaan rakyat dalam menyambut tahun baharu dengan pengisian rohani.

“Saya mengajak semua anak Kelantan, 31 haribulan 12 ini bermula solat Maghrib di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV bersama seluruh rakyat Kelantan untuk kita berdoa supaya tahun 2026 ini lebih baik untuk kita semua,” tambahnya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook