Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Roslin ke Mesir, Hafiz ke Arab Saudi, dua beradik anak Kelantan sandang ketua jurulatih badminton antarabangsa
utama

Roslin ke Mesir, Hafiz ke Arab Saudi, dua beradik anak Kelantan sandang ketua jurulatih badminton antarabangsa


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 10 Disember – Arena badminton dunia sekali lagi menyaksikan keupayaan Malaysia melahirkan jurulatih bertaraf antarabangsa apabila dua beradik kelahiran Kelantan, Roslin Hashim dan Hafiz Hashim, masing-masing dilantik sebagai ketua jurulatih badminton bagi dua negara Asia Barat dan Afrika Utara.

Hafiz, 42, juara Seluruh England 2003 telah memulakan tugas sebagai Ketua Jurulatih Badminton Arab Saudi sejak Ogos lalu, manakala abangnya, Roslin, 50, pula berangkat ke Kaherah untuk memulakan tugasan sebagai Ketua Jurulatih Badminton Mesir di bawah kontrak selama tiga tahun.

Pelantikan dua beradik ini sebagai ketua jurulatih luar negara mengukuhkan legasi badminton Malaysia di peringkat global. Hafiz kini mengetuai skuad kebangsaan Arab Saudi di Dammam dengan kontrak setahun yang boleh diperbaharui.
Fokus utamanya ialah membawa pasukan itu mencapai kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Sementara itu, Roslin, bekas pemain nombor satu dunia, menerima tawaran Persekutuan Badminton Mesir (EBF) sebagai sebahagian daripada persiapan jangka panjang Mesir menuju Olimpik LA28.

Kredit foto: Aplikasi X Roslin Hashim

Roslin berkata beliau memilih untuk menerima tawaran tersebut bagi menimba pengalaman baharu dalam kerjaya kejurulatihannya sekaligus mengembangkan kepakaran ke peringkat antarabangsa.

“Ini satu cabaran, saya ambil satu skop kerja yang baharu untuk saya. Cabaran memang besar, kalau tengok tugas yang saya harus pikul ini bukan tugas mudah, bukan hanya sebagai seorang jurulatih di sana tetapi juga sebagai seorang pengarah teknikal dan ketua jurulatih,” katanya sebagaimana dilapor BERNAMA ada 8 Disember.

Beliau menegaskan bahawa tahap badminton Mesir yang masih rendah adalah peluang untuk melakukan perubahan besar dan membina budaya latihan lebih progresif.

“Kita lihat dari segi tahap badminton di sana tidak begitu tinggi... jadi, saya nak buat sesuatu kepada pemain Mesir untuk keluar daripada zon selesa mereka.”

Roslin akan mengetuai pembangunan atlet Mesir untuk tempoh tiga tahun, merangkumi aspek teknikal, pengurusan latihan dan penyediaan pelan persediaan menuju sukan dunia.

Pada 25 Ogos lalu, Hafiz telah berlepas ke Arab Saudi bagi memulakan tugas sebagai ketua jurulatih badminton negara itu. Kontrak setahun yang ditandatangani boleh diperbaharui sekiranya prestasi pasukan mencapai sasaran.

Hafiz, yang pernah menggegarkan dunia badminton dengan kejayaan di Seluruh England 2003, mahu membawa transformasi struktur latihan Arab Saudi termasuk melahirkan pemain elit yang mampu memasuki kelayakan Olimpik.

Langkah Arab Saudi dan Mesir memilih jurulatih Malaysia menggambarkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan Malaysia dalam melahirkan bakat kejurulatihan berkaliber.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad

Sehubungan itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad merakamkan tahniah kepada dua jagoan anak Kelantan atas pelantikan Roslin dan Hafiz sebagai ketua jurulatih kebangsaan di dua negara berbeza itu dan menyifatkan kedua-duanya berjaya menjulang nama Malaysia, bahkan mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai negeri yang banyak melahirkan ikon sukan berprestasi tinggi.

“Dua adik-beradik, dua negara, satu legasi. Pelantikan ini menjadi bukti bahawa sumbangan pemain legenda Malaysia anak Kelantan tidak terhenti selepas bersara daripada gelanggang, sebaliknya diterjemah melalui kepimpinan, kepakaran dan dedikasi dalam membangunkan badminton dunia. Roslin ke Cairo dan Hafiz ke Dammam menjadikan landskap badminton antarabangsa terus menerima sentuhan Malaysia dari anak Kelantan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook