Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Bersatu sedia terima Presiden PAS ketuai PN
utama

Bersatu sedia terima Presiden PAS ketuai PN

 

Oleh Salmah Mat Husain|

KOTA BHARU: Bersatu Kelantan tidak menolak kemungkinan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelantikan kepimpinan baharu PN berikutan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu meletak jawatan mengetuai PN berkuatkuasa 1 Januari 2026.

Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor berkata, sebelum ini Muhyiddin pernah menawarkan jawatan berkenaan kepada Tuan Guru Abdul Hadi, namun beliau menolak.

Kata beliau pelantikan pemimpin Bersatu atau PAS mengetuai PN dengan mengambil kira dua parti besar dalam gabungan berkenaan.

“Memandangkan dalam PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu Bersatu dan PAS berbanding parti lain, maka logiknya Pengerusi baharu PN dari PAS.

“Lagipun, mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN ialah ketua parti gabungan,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) semalam.

Muhyiddin baru-baru ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional berkuat kuasa 1 Januari dipercayai ekoran kemelut dalaman PN di Perlis.

Di Perlis lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS menandatangani surat akuan bersumpah (SD) bagi mendesak Mohd Shukri Ramli meletak jawatan sebagai menteri besar.

Tindakan tiga Adun PAS menyebabkan mereka digugurkan serta merta sebagai ahli parti. Bagaimanapun Bersatu belum mengambil sebarang tindakan terhadap lima Adun parti terbabit.  

Selain Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan sebagai setiausaha agung. Selain itu Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal serta Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Kamarudin yang juga anggota Exco Kerajaan Kelantan berkata, pelantikan Pengerusi PN pusat dijangka dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan bagi mendapat kata sepakat.

“Kami di Bersatu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi PN yang dilantik daripada PAS,” katanya.

Menurutnya hubungan antara Bersatu dan PAS Kelantan masih terjalin erat.

“Pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan. Malah tenaga kerja di Pejabat Khidmat DUN Air Lanas terdiri separuh petugas parti Bersatu dan PAS,” katanya.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang menyatakan hubungan dalaman parti kekal baik, kukuh dan harmoni di Kelantan.

“Alhamdulillah, kenyataan itu menggambarkan keadaan sebenar di Kelantan. Kita bersatu, matang dan dipimpin mereka yang berpengalaman serta lama dalam politik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan apa yang berlaku di Perlis sebagai fenomena sementara yang tidak memberi kesan jangka panjang.

Sementara itu Dr Mohamed Fadzli berkata, PAS Kelantan berpegang kepada ketetapan dan arahan pimpinan pusat dalam menjalin kerjasama politik, termasuk hubungan dengan rakan dalam PN.

Kata beliau hubungan dengan Bersatu di Kelantan terjalin utuh dan tidak ada sebarang masalah.

Kerjasama di peringkat negeri berjalan lancar termasuk dalam aspek pentadbiran negeri.

Tambahnya, pelbagai program dilaksanakan bersama dari semasa ke semasa dan PAS Kelantan sentiasa mengambil pendekatan muafakat.

“Jika ada program, kita laksanakan bersama. Tidak timbul isu perpecahan kerana kita bergerak berdasarkan kesepakatan,” ujarnya.

 

 

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook