Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Dua tahun PMBI: Hampir 80 peratus pelan tindakan kerajaan negeri berjaya digerakkan - MB Kelantan
utama

Dua tahun PMBI: Hampir 80 peratus pelan tindakan kerajaan negeri berjaya digerakkan - MB Kelantan


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 8 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan mencatat pencapaian memberangsangkan apabila hampir 80 peratus daripada keseluruhan pelan tindakan yang dirangka di bawah Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028 berjaya digerakkan dalam tempoh dua tahun pentadbiran semasa melalui strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, sebanyak 770 pelan tindakan dan 87 program mercu telah dirancang berpaksikan PMBI 2023–2033 yang menjadi kompas hala tuju pembangunan negeri.

“Dalam tempoh dua tahun pentadbiran, hampir 80 peratus daripada keseluruhan pelan tindakan ini telah digerakkan. Ini satu pencapaian yang wajar kita syukuri bersama,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan di Dewan Tuan Guru Bentara Setia, Kompleks Pentadbiran Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, tahun 2026 disifatkan sebagai tahun penentuan yang menuntut perubahan fokus daripada sekadar perancangan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

“Ukuran kejayaan kita bukan lagi pada jumlah perancangan, tetapi pada kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Kita mesti beralih daripada retorik di atas kertas kepada realiti yang dirasai rakyat. Inilah tuntutan amanah yang menjadi ukuran keberhasilan pentadbiran,” tegasnya.

Dalam amanat tersebut, beliau turut menekankan prinsip nilai untuk wang sebagai teras pengurusan kewangan kerajaan negeri, dengan menegaskan setiap perbelanjaan mestilah munasabah serta sepadan dengan impak yang dihasilkan.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan atau salah guna peruntukan, justeru pemantauan berterusan terhadap kemajuan projek dan prestasi perbelanjaan perlu dilaksanakan secara sistematik.

“Ketua-ketua Jabatan hendaklah memastikan laporan kemajuan dikemukakan secara berkala dan tindakan pembetulan diambil segera sekiranya berlaku kelewatan atau isu pelaksanaan. Akauntabiliti terhadap kejayaan atau kegagalan projek adalah tanggungjawab kepimpinan jabatan masing-masing,” ujarnya.


Beliau turut mengingatkan bahawa usaha membangunkan Kelantan sebagai sebuah negeri yang makmur mestilah berteraskan prinsip tadbir urus Islam yang berpaksikan Maqasid Syariah, merangkumi penegakan keadilan, penjagaan amanah, pengamalan syura, pelaksanaan syariat serta pemeliharaan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh penjawat awam agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan penuh keikhlasan dan ihsan.

“Setiap apa yang dilakukan, walaupun kecil, tetap bernilai di dalam mizan Allah SWT. Setiap fail yang diproses dengan amanah, setiap aduan rakyat yang diselesaikan dengan ihsan, dan setiap keputusan yang dibuat dengan adil, semuanya direkodkan sebagai amal soleh yang akan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran,” ujarnya.
MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook