Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Peluang Kota Bharu diiktiraf bandar gastronomi dunia
utama

Peluang Kota Bharu diiktiraf bandar gastronomi dunia

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kota Bharu sedang diusahakan untuk diiktiraf sebagai bandar gastronomi bertaraf dunia di bawah rangkaian bandar kreatif UNESCO.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kerajaan negeri menggerakkan usaha secara berperingkat untuk meletakkan Kelantan ke peta pelancongan antarabangsa.

Katanya, setakat ini hanya beberapa bandar di Malaysia seperti Kuching dan Johor Bahru tersenarai di bawah pengiktirafan berkenaan, manakala Kota Bharu masih dalam proses penilaian.

Menurut beliau, antara cabaran utama permohonan tersebut penyediaan inventori makanan tradisional yang lengkap, melibatkan pelbagai jenis hidangan dan warisan kulinari tempatan.

“Kota Bharu sebenarnya memiliki kekuatan sebagai bandar makanan. Jika berjaya disenarai ia akan meletakkan Kota Bharu di peta pelancongan dunia dan memperkukuhkan identiti Kelantan sebagai destinasi gastronomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ucaptama Penutup Seminar Kajian Pembangunan Pelancongan Negeri Kelantan yang diadakan di H Elite & Designe Hotel, dekat sini semalam.

Tiga ahli panel menjayakan program berkenaan iaitu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Zameri Mat Nawang; Adun Kuala Balah Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Wan Muhammad Hazam Wan Hassan.

Kamarudin berkata, cadangan itu amat wajar diketengah melibatkan tempat pelancongan menarik, makanan, kraf dan sebagainya perlu ditonjolkan sehingga peringkat dunia.

Menurutnya juga masyarakat antarabangsa masih lagi keliru antara Kota Bharu dan Kota Kinabalu, yang memerlukan memperkenalkan Kelantan secara lebih agresif di persada global.

“Dalam satu pembentangan di luar negara, ada pihak menyatakan mereka pernah ke Kota Bharu, namun sebenarnya merujuk kepada Kota Kinabalu.

"Ini menunjukkan Kelantan masih belum benar-benar muncul dalam peta pelancongan dunia,” ujarnya.

Selain gastronomi, beliau memberitahu pelancongan kesihatan turut dikenal pasti sebagai satu lagi sektor strategik yang berpotensi besar untuk dibangunkan di Kelantan.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan pesakit antarabangsa khususnya dari Indonesia dan Thailand, yang mahu kualiti perkhidmatan rawatan sebagai keutamaan berbanding kos.

“Indonesia mempunyai hampir 300 juta penduduk dan dianggarkan sekitar 10 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada golongan berkemampuan.

“Mereka sanggup ke Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk rawatan dan Kelantan juga berpotensi menjadi pilihan pelancong dari Indonesia,” ujarnya.

Menurut beliau, Kelantan mempunyai beberapa hospital pakar yang diiktiraf termasuk Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia yang diiktiraf sebagai pusat rujukan nasional bagi penyakit saraf.

Selain itu Hospital Pakar Perdana dan Kota Bharu Medical Canter (KBMC) yang kini sedang menjalani fasa pembangunan baharu.

Beliau berkata, pelaburan baharu KBMC termasuk pembinaan bangunan moden dijangka siap dalam tempoh terdekat dan akan meningkatkan kemudahan rawatan serta keselesaan pesakit.

“Kerajaan negeri menggalakkan kerjasama antara hospital dan pengusaha hotel tempatan bagi menyediakan pakej penginapan khas dengan kadar diskaun kepada pesakit yang perlu menjalani rawatan jangka panjang.

“Saya mengadakan perbincangan dengan pengusaha hotel dan mereka bersetuju menawarkan kadar istimewa kepada pesakit yang sedang menerima rawatan," ujarnya.

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook