Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

   Ibu bapa sering abai kesejahteraan mental anak
utama

Ibu bapa sering abai kesejahteraan mental anak

Oleh A Hazman Ali |

TANPA kita sedari, ramai ibu bapa sebenarnya sedang menghidupkan semula impian yang tidak kesampaian melalui anak-anak.

Anak dijadikan medium untuk mencapai cita-cita yang pernah terhenti di tengah jalan, sama ada dalam bidang akademik, kerjaya mahupun kehidupan.

Persoalannya, sejauh mana usaha itu lahir daripada kasih sayang, dan sebenarnya ia menjadi tekanan yang membebankan jiwa anak?

Di sinilah timbul persoalan yang wajar kita renungi bersama iaitu menggapai cita-cita sendiri melalui anak dan adat. Mungkinkah ia dianggap sebagai khianat dalam kalangan ibu bapa?

Mungkin kedengaran agak keras, namun realitinya semakin relevan dalam dunia hari ini, tatkala isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan.

Kecenderungan

Hakikatnya, anak bukan sambungan kepada kegagalan atau kecemerlangan masa lalu ibu bapa. Mereka hadir dengan potensi dan kecenderungan tersendiri.

Apabila laluan hidup mereka ditentukan tanpa ruang untuk mengenal diri, mereka akan terperangkap antara dua keadaan yang sama menyakitkan, patuh tetapi tertekan, atau memberontak demi mempertahankan diri.

Lebih membimbangkan, tekanan tersebut sering tidak diluahkan. Ia dipendam sehingga menjadi kebimbangan, keletihan emosi dan kemurungan.

Anak mungkin kelihatan patuh dan berjaya memenuhi harapan, tetapi dalam diam, jiwanya semakin rapuh dan perlahan-lahan kehilangan arah.

Fenomena itu dapat dilihat apabila generasi Z sering kali dilabel sebagai lemah, manja dan tidak tahan tekanan. Namun, benarkah mereka lemah atau kita yang gagal memahami realiti dunia mereka?

Mereka membesar dalam persekitaran yang jauh lebih kompleks dengan persaingan global, ledakan maklumat dan ketidaktentuan masa depan.

Apa yang kita tafsir sebagai kelemahan, mungkin sebenarnya keletihan emosi yang tidak pernah diberi ruang untuk difahami.

Dalam keghairahan mengejar kejayaan anak, kita juga terperangkap dalam rantaian lama yang tidak lagi sesuai dengan zaman, lalu terus mengulangi pendekatan yang sama tanpa sempat menilai semula kesannya terhadap jiwa anak-anak kita.

Kita membandingkan anak dengan orang lain, malah dengan adik-beradik sendiri, tanpa sedar bahawa perbandingan itu menanam luka emosi yang mendalam.

Kita mengukur kejayaan melalui pencapaian akademik dan material semata-mata, sedangkan kesejahteraan mental sering diabaikan.

Derita senyap

Lebih membimbangkan, kita mungkin tanpa sedar sedang menikmati kejayaan yang dibina di atas penderitaan senyap anak-anak sendiri.

Pepatah Melayu ‘biar mati anak, jangan mati adat’ sering diulang sebagai simbol ketegasan nilai, namun dalam konteks keibubapaan hari ini, pepatah itu perlu ditafsir semula dengan penuh tanggungjawab agar nilai yang dipertahankan tidak meruntuhkan insan yang kita lindungi.

Sebagai seorang anak, guru dan juga ayah, isu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Saya melihatnya dalam pengalaman sendiri, dalam wajah-wajah pelajar, dan dalam realiti kehidupan anak-anak hari ini.

Lebih meruntun hati, beberapa kejadian yang meragut nyawa akibat gangguan mental akibat tekanan, kebelakangan ini benar-benar mengubah cara saya melihat keibubapaan.

Ini bukan lagi sekadar soal kejayaan, tetapi soal keselamatan emosi dan kelangsungan jiwa anak-anak kita. Sesuatu yang jauh lebih asas dan mendasar daripada apa jua bentuk pencapaian luaran.

Dalam perspektif psikologi perkembangan, setiap anak hadir dengan potensi semula jadi yang unik dan perlu dipelihara, bukan dibentuk secara paksa.

Perkembangan yang sihat berlaku apabila anak diberi ruang untuk mengenal diri, mencuba, dan membina arah hidupnya sendiri secara berperingkat.

Emosi

Dalam konteks ini, memaksa anak memenuhi impian yang bukan miliknya bukan sahaja menekan emosi, malah berisiko mengganggu perkembangan dirinya secara menyeluruh.

Pendekatan yang lebih manusiawi ialah membimbing anak mengenal potensi diri, memberi ruang untuk mereka berkembang secara sihat, serta membina keyakinan tanpa tekanan yang berlebihan.

Kita mungkin tidak kehilangan apa-apa jika anak tidak menjadi seperti yang kita impikan. Namun, kita boleh kehilangan sesuatu yang jauh lebih besar jika anak kehilangan dirinya sendiri dalam usaha memenuhi impian kita.

Sudah tiba masanya kita beralih daripada keibubapaan berasaskan ego kepada keibubapaan berasaskan kesedaran, yang lebih realistik dan manusiawi.

Akhirnya, kejayaan sebenar bukanlah apabila anak mencapai cita-cita yang kita impikan, tetapi apabila mereka membesar sebagai individu yang sihat emosinya, seimbang kehidupannya dan jelas arah tuju hidupnya.

Dalam dunia yang semakin mencabar, mungkin itulah definisi kejayaan yang paling bermakna.

Apa kata kita semak kembali gaya keibubapaan. Adakah ia di landasannya, atau ada yang perlu diperbaiki? Tidak mengapa jika terlambat, asalkan tidak terlepas. Kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Dan sebaik-baik kesedaran adalah yang diterjemahkan melalui perubahan.

#Penulis merupakan pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan, KIAS

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook