Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

Kerajaan perlu jelas mekanisme penentuan harga diesel
utama

Kerajaan perlu jelas mekanisme penentuan harga diesel

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menjelaskan mekanisme penentuan harga diesel yang digunakan, memandangkan kenaikan harga domestik dianggap tidak sepadan dengan pergerakan harga global.

Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, perbandingan harga serantau  menunjukkan harga diesel di negara jiran setakat 1 April kekal lebih rendah.

Thailand - RM4.99 seliter, Indonesia - RM1.60 (peribadi) hingga RM3.37 (komersial), Vietnam - RM5.40 dan China - RM4.80 seliter.

“Namun harga diesel di Malaysia mencecah RM6.02 seliter. Ia berisiko menjadi antara harga tertinggi di rantau ini, walaupun kita merupakan negara pengeluar minyak dan gas.

“Lebih tidak munasabah lagi perbezaan harga diesel antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak semakin ketara. Di Semenanjung sekarang RM6.02 seliter, sedangkan di Sabah dan Sarawak cuma RM2.15 seliter.

“Perbezaan yang begitu ketara itu berpotensi menimbulkan persepsi beban kos yang kelihatan tidak adil,” katanya pada kenyataan hari ini.

Harga diesel di Semenanjung bagi tempoh 2 hingga 8 April ialah RM6.02 seliter, manakala di Sabah, Sarawak serta Labuan kekal pada RM2.15 seliter. Perbezaannya RM3.85 seliter.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme penstabilan harga dengan menetapkan harga siling atau penampan bagi menghindari kenaikan harga mendadak.

Kata beliau kerajaan boleh menimbangkan langkah penyediaan penanda aras harga pasaran serantau bagi melunakkan persepsi dan sentimen awam berkait keadilan harga dan keberkesanan dasar serta tindakan yang diambil.

Mendadak

Menurutnya juga kenaikan mendadak dalam tempoh singkat dijangka memberi tekanan yang besar kepada perniagaan, rantaian bekalan dan kos sara hidup rakyat.

“Keadaan ini bertambah rumit dengan tekanan kemungkinan kenaikan tarif elektrik yang tertakluk kepada mekanisme pelarasan harga bahan api turut berpotensi terus meningkatkan kos operasi perniagaan dalam pelbagai sektor secara meluas dan berganda.

“Syarikat perniagaan dalam sektor utama termasuk logistik, pengangkutan, pertanian, pembuatan, peruncitan dan pengedaran makanan telah memberi amaran kenaikan kos input sukar ditampung dan berkemungkinan besar menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan,” ujarnya.  

Beliau juga berkata, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dengan margin tipis berkemungkinan terhad keupayaannya untuk menyerap kos tambahan, sekali gus meningkatkan risiko inflasi kos yang menjejaskan kelangsungan perniagaan.

Lebih membimbangkan katanya, arah dasar kerajaan melalui rasionalisasi subsidi dan penentuan harga berdasarkan mekanisme pasaran menunjukkan pelarasan harga bahan api mungkin akan diteruskan.

“Keadaan ini menimbulkan ketidaktentuan bagi perniagaan dan isi rumah, selain menyukarkan perancangan kos dan pelaburan jangka panjang,” katanya.

Unjuran

Oleh itu PN menuntut kerajaan menjelaskan unjuran harga diesel untuk beberapa bulan akan datang sama ada harga RM6.02 merupakan tahap harga maksimum atau tertakluk kepada pelarasan selanjutnya.

Selain itu impak kenaikan tarif elektrik terhadap perniagaan dan inflasi, langkah-langkah segera dan konkrit untuk melindungi perniagaan dan isi rumah daripada tekanan kos terkumpul

Menurutnya juga Petronas terus menikmati keuntungan daripada harga tenaga global yang tinggi, termasuk eksport LNG menyumbang kepada penambahan hasil negara dengan ketara.

“Justeru PN mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai durian runtuh atau cukai tenaga sementara ke atas industri minyak dan gas berikutan keuntungan luar biasa.

“Ini membolehkan kerajaan melindungi ekonomi secara keseluruhan dan efektif, sama ada untuk tujuan pemberian subsidi, pelepasan cukai, insentif kos dan sebagainya bagi mengawal kesan kenaikan harga bahan api,” ujarnya.

 

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook