Terus ke kandungan

TERKINI
Ikuti berita terkini Media Point.
Berita semasa, setiap hari.
MEDIA POINT

Cerita yang dekat. Perspektif yang luas.

Berita dan cerita masyarakat, untuk pembaca daripada pelbagai latar.

Tentang Media Point

Media Point ialah portal berita digital yang membawa perkembangan Kelantan, isu nasional dan cerita masyarakat. Bermula pada 2022, Media Point menyediakan ruang untuk pembaca mengikuti berita semasa, memahami isu dan mengenali kehidupan di sekeliling mereka.

Berpaksikan cerita tempatan dengan pandangan yang lebih luas, liputan kami merangkumi hal ehwal semasa, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan, budaya serta pandangan dan komentar.

Tujuan kami

Kami mahu menjadi ruang bacaan yang terbuka dan mudah diakses oleh semua. Matlamat kami ialah menyampaikan maklumat yang berguna, memberi ruang kepada pelbagai sudut pandang dan membantu pembaca membuat pertimbangan sendiri.

Pendekatan editorial

Kami berusaha mengutamakan ketepatan, konteks dan bahasa yang jelas. Berita, pandangan penulis serta kandungan promosi perlu dikenal pasti dengan jelas supaya pembaca dapat menilai setiap bahan dengan sewajarnya.

Kami menghargai perbezaan pandangan dan berusaha menyampaikan cerita dengan hormat kepada individu serta komuniti. Pandangan dalam ruangan komentar ialah pandangan penulis masing-masing.

Maklum balas dan pembetulan

Maklum balas pembaca membantu kami memperbaiki liputan. Jika terdapat maklumat yang perlu disemak atau dibetulkan, sertakan pautan artikel dan butiran berkaitan melalui saluran rasmi Media Point.

WINS 2051 kerangka PAS realisasi Negara Berkebajikan
utama

WINS 2051 kerangka PAS realisasi Negara Berkebajikan

 

Oleh Norzana Razaly |

KOTA BHARU: PAS mengemukakan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051) sebagai pelan induk jangka panjang bagi merealisasikan konsep Negara Berkebajikan menerusi kerangka bernegara berteraskan Islam.

Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, WINS 2051 dirangka sebagai panduan menyeluruh dalam pentadbiran, penggubalan dasar dan pembangunan negara yang akan dilaksanakan secara berfasa sehingga tahun 2051.

Menurutnya, pemilihan tahun 2051 mempunyai signifikan tersendiri kerana menandakan genap satu abad penubuhan PAS sejak tahun 1951.

“Pemilihan tahun 2051 mempunyai makna yang tersendiri kerana menandakan satu abad penubuhan PAS sejak tahun 1951 dan bersempena muktamar pada tahun ini kita mengadakan Sambutan 75 Tahun PAS,” katanya pada ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, pelaksanaan WINS 2051 dibahagikan kepada tiga fasa utama dengan setiap peringkat mempunyai matlamat pembangunan negara yang tersendiri.

Katanya, Fasa 1 Pemulihan Negara memberikan penekanan kepada usaha menyelesaikan permasalahan utama negara sebagai asas kepada pembinaan sistem pentadbiran dan pembangunan yang lebih kukuh.

Usaha itu kemudiannya diteruskan menerusi Fasa 2 dengan sasaran mengangkat Malaysia sebagai ‘Negara Model’ sebelum memasuki Fasa 3 yang bermatlamat memposisikan Malaysia sebagai ‘Negara Memimpin’ di peringkat antarabangsa.

Katanya lagi, WINS 2051 akan terus dikemas kini dalam tempoh terdekat dengan pelan tindakan lebih terperinci serta penanda aras yang jelas bagi membolehkan setiap tahap pencapaiannya diukur secara sistematik.

PAS juga akan bekerjasama dengan golongan ilmuwan, profesional dan teknokrat dalam proses penambahbaikan wawasan berkenaan selain mengenal pasti pendekatan terbaik bagi pelaksanaannya selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pada masa sama, Tuan Guru Abdul Hadi berkata pendekatan perancangan jangka panjang turut diterjemahkan di negeri-negeri melalui beberapa dokumen strategik yang berfungsi sebagai panduan tadbir urus dan pembangunan.

Antaranya ialah Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) di Kelantan, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) di Terengganu dan Pelan Strategik The Greater Kedah di Kedah.

Selain itu, Pelan Strategik Ekonomi dan Pembangunan Insan untuk Selangor Mampan (EHSAN) turut diperkenalkan sebagai antara kerangka terbaharu bagi merancang pembangunan jangka panjang di peringkat negeri.

MEDIA POINT

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook