KUALA LUMPUR:
Pendirian Perikatan Nasional (PN) adalah jelas kerana berada di pihak yang
benar bagi mempertahankan hak melalui saluran undang-undang.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya menghormati proses undang-undang yang berjalan dan akan mempertahankan hak PN dengan tegas.
“Kini, seluruh jentera mesti memberi tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Perkukuh persiapan, eratkan kerjasama dan bawa tawaran terbaik untuk rakyat. Kita terus mara,” katanya pada kenyataan petang ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan PN untuk menggantung tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran parti berkenaan.
Hakim Dato’ Azizan Md Arshad turut membenarkan permohonan PN menangguh pelaksanaan notis RoS yang menggantung semua kegiatan gabungan politik itu.
Pada Selasa lepas RoS membatalkan pendaftaran PN dengan mendakwa penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Berikutan itu Setiausaha Agung PAS menyifatkan pembatalan itu dibuat hanya dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar permohonan PN untuk menangguhkan tindakan RoS mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan menggantung semua aktiviti PN.
Menurutnya bertindak sebelum pendengaran tersebut menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman.
Dr Ahmad Samsuri yang Menteri Besar Terengganu juga berkata, ada usaha pihak yang mahu memadamkan PN, namun ia tidak akan mematahkan tekad PN.
“PN tetap teguh dan perjuangan ini akan diteruskan. Terima kasih kepada semua atas doa, sokongan dan kesabaran serta pasukan peguam atas usaha gigih mereka.

