![]() |
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM14.95 juta bagi melaksanakan program Bantuan Rumah Dhuafa’ pada tahun hadapan dan RM14 juta untuk projek Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK).
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, peruntukan itu merangkumi RM8 juta bagi projek RMMK Bunut Susu yang melibatkan 178 unit.
“Selain itu RM4 juta bagi projek Meranti II yang melibatkan 100 unit dan RM2 juta untuk pengambilan tanah projek perumahan,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2027 pada persidangan Dun Kelantan di sini hari ini.
Belanjawan Kelantan 2027 berjumlah RM1.383 bilion, di mana daripada jumlah tersebut, RM1.087 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM296 juta bagi perbelanjaan pembangunan.
Anggaran hasil negeri RM1.082 bilion. Jumlah itu terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM238.8 juta hasil bukan cukai sebanyak RM314.5 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM529.29 juta.
Perbezaan antara anggaran hasil dengan perbelanjaan mengurus menunjukkan kekurangan sebanyak RM4.31 juta.
Manakala hasil tanah dianggarkan sebanyak RM373.57 juta, hasil hutan RM70.4 juta dan hasil perlombongan RM48.41 juta. Anggaran hasil perlombongan meningkat sebanyak RM5.9 juta berbanding 2026.
Menteri Besar berkata, sebanyak RM167.83 juta diperuntukkan bagi menjayakan kelangsungan institusi pendidikan, kebajikan tenaga pendidik dan keadaan kemudahan pembelajaran.
Katanya, sebanyak RM132 juta disediakan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang bertanggungjawab melahirkan generasi berilmu serta berakhlak.
Selain itu, RM4 juta diperuntukkan untuk Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
“Sebanyak RM4 juta disediakan untuk projek penyelenggaraan sekolah-sekolah YIK. Pembinaan Maahad Tahfiz Kuala Krai diperuntukkan RM2 juta, manakala pembangunan pondok dan pusat tarbiah menerima RM2 juta,” katanya.
| Bantuan Beras al It'aam Dun Kemahang |
Sejumlah RM22 juta disediakan bagi Bantuan Am Bulanan al-Musa’adah. Sebanyak RM7.7 juta Bantuan Beras al-It’am dan RM4.35 juta bagi Program Pembelaan Rakyat Miskin.
Bagi bantuan Armalah dan Anak Yatim, RM6.75 juta diperuntukkan. Skim Khairat Kematian Kifaalah (RM5 juta), manakala Bantuan Khas al-Barakah (RM1 juta).
Pembangunan keluarga dan kebajikan wanita menerima RM7 juta yang meliputi Tabung Usahawan Wanita, Subsidi Mamografi, Elaun Mudarribah dan Insentif Penubuhan Taska di tempat kerja.
![]() |
| Penduduk India di Dun Guchil menerima Rumah Dhuafat |
Orang Kurang
Upaya diperuntukkan sebanyak RM600 ribu. Sebanyak RM2 juta disediakan untuk
Program Kesihatan dan RM1 juta (kesihatan awam).
Bagi memupuk Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Orang Asli, RM1.5 juta diperuntukkan bagi Program Perpaduan Masyarakat. RM200 ribu disediakan bagi pembangunan Orang Asli, dan RM250 ribu bagi Program Integrasi Antara Kaum.
“Kerajaan Negeri juga sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan petani, penternak dan nelayan.
"Untuk itu, sebanyak RM3.3 juta bagi galakan pertanian dan penternakan, RM1.2 juta disediakan bagi bantuan baja dan bantuan agro serta RM350 ribu bagi bantuan nelayan pantai, sungai dan akuakultur,” kata Ustaz Mohd Nassuruddin.


