KOTA BHARU: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan terus mempamerkan aliran pertumbuhan yang kukuh dan stabil, di mana bagi tahun 2025, ekonomi Kelantan mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus, meningkat berbanding 3.3 peratus pada (2024).
Pertambahan nilai KDNK pada harga malar meningkat kepada RM29.8 bilion berbanding RM28.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, dari aspek komposisi ekonomi, sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama dengan menyumbang sebanyak 71.8 peratus serta menjana nilai ditambah sebanyak RM21.4 bilion dengan pertumbuhan 4.0 peratus.
Katanya, pertumbuhan itu didorong oleh pengembangan subsektor perkhidmatan kerajaan serta subsektor perdagangan borong, runcit, makanan, minuman dan penginapan.
“Sektor pertanian kekal sebagai tunjang kedua ekonomi negeri dengan menyumbang sebanyak 19.8 peratus kepada KDNK serta mencatatkan nilai berjumlah RM5.9 bilion.
“Sektor ini mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 3.6 peratus berbanding 1.5 peratus pada tahun 2024,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2027 pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini.
Menurutnya pertumbuhan itu dipacu oleh perkembangan memberangsangkan dalam subsektor tanaman berikutan peningkatan ketara pengeluaran buah tandan segar kelapa sawit serta tanaman sayur-sayuran.
Sektor pembuatan turut mempamerkan prestasi cemerlang dengan melonjak sebanyak 9.3 peratus pada tahun 2025 berbanding 2.2 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus mengatasi kadar pertumbuhan pembuatan nasional 4.5 peratus.
“Sektor ini menyumbang 4.7 peratus kepada KDNK negeri dengan nilai ditambah RM1.4 bilion, didorong oleh kepesatan subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal yang melonjak serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik,” kata beliau.

