KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) berdepan dengan gangguan sehingga mahu diharam pendaftarannya kerana kerajaan bimbang pengaruhnya yang begitu kuat.
Presiden Parti Wawasan Negara, Dato' Seri Hamzah Zainuddin berkata, PN merupakan pembangkang yang kuat.
Lebih-lebih lagi katanya kerjasama PN dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri di Negeri Sembilan Ogos lepas berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Jadi PH cuba sekat gelombang biru seperti yang berlaku di Negeri Sembilan daripada terus menjalar ke Melaka," katanya pada ceramah perdana Himpunan Munajat dan Penyatuan Ummah di Stadium Sulltan Muhammad IV malam tadi.
Hadir sama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob; Menteri Besar Kelantan, Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Sanusi Md Nor, Naib Presiden PAS, Dato Amar DRaja Mohd Amar Abdullah; Setiausaha Agung PAS, Dato Seri Takiyuddin Hassan, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS, Tan Sri Annuar Musa dan aktivis rakyat Isham Jalil.
Sebelum itu ketika solat Isya' dan solat hajat hujan mulai turun menyebabkan orang ramai termasuk pimpinan terpaksa solat di bawah hujan.Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, tindak tanduk kerajaan sekarang banyak menyusahkan rakyat dan ia hanya dapat dibetulkan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.Sanusi pula berkata, PN sekarang berada pada posisi kerajaan yang menanti pada PRU16."Sudah sampai masanya PH perlu berundur dan tempohnya hanya kira-kira setahun dari sekarang. Kita akan guna pendekatan Membangun Bersama Islam seperti dilaksanakan di Kelantan, apabila diberi peluang menerajui kerajaan Pusat," ujarnya.
Isham turut menyifatkan hanya PAS yang lebih layak untuk menerajui kerajaan Pusat kerana pemimpinnya terbukti berintegriti tinggi dan bebas rasuah.




