KUALA LUMPUR:
Kelewatan pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB)
Sungai Golok menyebabkan berlaku peningkatan kos sebanyak RM759 juta.
Berdasarkan Laporan Audit Negara, kos keseluruhan projek dilapor meningkat daripada RM879 juta kepada RM1.638 bilion iaitu bertambah kira-kira 86 peratus.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, projek terbabit yang bermula pada 2018, di mana mengikut jadual asal dijangka siap pada 2022.
Namun, sekarang kata beliau projek itu disasarkan pula siap pada 21 Julai 2027.
“Kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci punca kelewatan projek berkenaan, termasuk pemberian dua pelanjutan masa (EOT) berjumlah 1,072 hari bagi Fasa 1.
“Persoalannya, mengapa projek terbabit mengambil masa yang begitu lama sehingga memerlukan pelanjutan masa sebanyak 1,072 hari?
“Penduduk Rantau Panjang yang berdepan risiko banjir berhak mengetahui apa punca sebenar kelewatan itu dan apakah langkah diambil bagi memastikan projek tidak tertangguh,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Berdasar laporan setakat 25 April lepas kemajuan sebenar fasa 1 mencapai 78.1 peratus berbanding 87 peratus mengikut jadual.
Selepas Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya pada November 2022, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor mengarahkan beberapa kelulusan termasuk projek tebatan banjir dibatal dan dihentikan serta-merta.
Alasannya kerana tidak mematuhi peraturan serta diluluskan secara rundingan terus.
Langkah Kerajaan Madani itu menimbulkan persoalan ramai bagaimanapun projek yang bermula boleh dikatakan menjimatkan kewangan kerajaan.
Ahli Parimen Kubang Kerian Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini memberitahu projek yang ditamat tersebut belum lagi bermula, dan kontraktor belum dilantik.
Roboh rumah pam
Siti Zailah turut mempersoalkan isu teknikal pelaksanaan projek termasuk tindakan merobohkan dua rumah pam yang dilapor bernilai RM3.2 juta akibat masalah struktur.
“Jika benar terdapat struktur yang terpaksa dirobohkan kerana masalah teknikal, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana perkara itu boleh berlaku dan siapakah yang bertanggungjawab terhadap kos tambahan.
“Ini melibatkan wang rakyat. Setiap peningkatan kos dan kelewatan perlu mempunyai justifikasi yang jelas serta boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau turut meminta kerajaan memastikan jadual baharu penyiapan projek dipatuhi dan tidak lagi berlaku pelanjutan masa yang akan menambah beban kewangan kerajaan.
Siti Zailah sebelum ini acap kali membangkitkan isu PLSB Sungai Golok memandangkan setiap kali musim tengkujuh penduduk di Rantau Panjang terpaksa menanggung kos besar akibat banjir.
Malah, lebih membimbangkan lagi paras tebatan banjir di sebelah Thailand semakin ditinggikan menyebabkan limpahan Sungai Golok mudah memasuki Rantau Panjang.





