KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat tahun Kerajaan Madani mentadbir Putrajaya, namun isu peruntukan kepada ahli parlimen tidak selesai sehingga sekarang.
Sedangkan ketika pemimpin Pakatan Harapan (PH) berada di barisan pembangkang sebelum ini, mereka begitu lantang memperjuangkan hak peruntukan sama rata seperti dinikmati penyokong kerajaan.
Hari ini isu tersebut dibangkit sekali lagi oleh ahli parlimen penyokong kerajaan dari Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
“Saya bercakap sebagai ahli Parlimen daripada kerajaan. Semasa kita menjadi pembangkang dahulu, kitalah yang paling lantang menyeru supaya kerajaan berlaku adil dengan memberikan peruntukan yang sama rata kepada semua pihak.
“Namun, apabila kita sudah memegang kuasa, mengapa pula kita menafikan hak mereka dan hak rakyat yang mereka wakili,” katanya ketika membahas Peringkat Dasar Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut kenyataan sebelum ini ahli parlimen kerajaan menerima peruntukan kira-kira RM2 juta setahun untuk projek pembangunan atau urusan rakyat.
Sedangkan pada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan menyebut akan mengagih peruntukan kepada semua wakil rakyat secara sama rata termasuk pembangkang.
Ekoran itu Gabungan
Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendesak Kerajaan Madani menyalurkan
Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) secara sama rata kepada semua ahli parlimen.
Sehubungan itu Isnaraissah mengingatkan Kerajaan Madani berhenti daripada menjadikan pengurangan peruntukan kepada kawasan pembangkang sebagai amalan kerajaan.
“Kononnya supaya rakyat di kawasan tersebut akan mengundi kita pada pilihan raya akan datang. Ketika kita menjadi kerajaan inilah masanya untuk melaksanakan segala reformasi yang kita mahukan,” ujarnya.
Menurutnya juga sepatutnya kekal prinsip sebagai orang yang sama dengan prinsip yang sama, tidak kira berada di pihak mana.


