Isu melibatkan 8,021 pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kelantan perlu diberikan perhatian serius menerusi tindakan lebih menyeluruh oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor, YB Wan Rohimi bin Wan Daud berkata, penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan terhadap pemilik premis yang menyewakan atau menyerahkan premis perniagaan kepada warga asing untuk diuruskan sepenuhnya.
Menurut beliau, amalan berkenaan berlaku di seluruh daerah dan memerlukan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan daripada pihak berkuasa berkaitan.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan.
Wang Ihsan Petroleum Kelantan Turun Hampir 20 Peratus
Dalam perbahasan sama, Wan Rohimi turut membangkitkan isu pengurangan penyaluran wang ihsan berkaitan royalti petroleum kepada Kelantan pada 2025.
Menurut angka yang dikemukakan beliau, Kelantan menerima RM246.62 juta pada 2025 berbanding RM304 juta pada 2024, menunjukkan penyusutan hampir 20 peratus.
Sehubungan itu, beliau berpandangan usaha perlu dilakukan bagi mengembalikan jumlah penerimaan yang pernah melebihi RM300 juta sebelum ini.
Beliau turut mencadangkan supaya perkara berkenaan diusahakan melalui rundingan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, Wan Rohimi merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh pasukan yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 bertemakan Kelantan Prihatin: Penghayatan Membangun Bersama Islam.
