Oleh Aslani M |
KOTA BHARU:
Berdasar kajian Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) didapati kira-kira
85.5 peratus rakyat Kelantan memiliki rumah sendiri.
Sedangkan di Selangor, tiga per sepuluh rakyat negeri itu tinggal di rumah sewa. Dan di Kuala Lumpur 63.9 peratus tinggal di rumah sewa.
“Dan alhamdulillah Kelantan ramai rakyat tinggal dan rumah sendiri, di mana 85.5 peratus memiliki rumah sendiri. Kelantan dan Kedah tak sampai dua per sepuluh tinggal di rumah sewa, maknanya satu lebih tinggal rumah sewa.
“Dan berdasar laporan NAPIC, home ownership, pemilikan rumah di Selangor, mereka yang memiliki rumah 67.7 peratus dan selebihnya tinggal menyewa,” kata anggota Exco Kerajaan Negeri Hilmi Abdullah pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Menurutnya juga Kelantan memiliki Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (DRMMK) yang ditambah baik daripada dasar yang diperkenalkan pada tahun 2015.
Kata beliau dasar baharu itu dikuatkuasa pada 18 Mac 2026 bermatlamat untuk memperkasakan penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi, kondusif, berdaya huni, livable dan berteras ciri-ciri Islami demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, DRMMK memberi penekanan terhadap penyediaan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana M40.
“Bagi memperluas peluang pemilikan rumah, dasar ini turut membuka kelayakan kepada golongan bujang dalam kategori B40 dan M40 berbanding dasar terdahulu yang memberi keutamaan kepada pemohon yang telah berkeluarga.
“Dari aspek
spesifikasi dan harga rumah, dasar baru menetapkan keluasan minimum 850 kaki
persegi bagi jenis A dan 1,000 kaki persegi bagi jenis B,” ujarnya menjawab
soalan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran). 
Adanan Hassan
Beliau juga berkata, rumah kos rendah pada suatu ketika dahulu dijual pada RM45,000 dan RM85,000 kos sederhana serta RM130,000 sederhana atas.
Bagaimanapun katanya harga tersebut sudah berubah memandangkan berlaku kenaikan harga bahan binaan, upah buruh dan kos tanah.
Kata beliau juga dasar baru menetapkan kuota pembinaan rumah mampu milik sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pembangunan perumahan swasta.
“Contohnya bagi projek perumahan bertanah, jumlah minimum projek 30 unit mesti 20 peratus daripadanya dibina rumah mampu milik.
"Begitu juga kalau jumlah minimum 100 unit pemaju hendaklah membina rumah mampu milik 20 peratus daripada jumlah keseluruhan unit rumah yang dibina," ujarnya.


