Pembangunan infrastruktur pelancongan di Dabong perlu diperkukuh bagi memastikan potensi alam semula jadi kawasan itu dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi masyarakat setempat.
YB Ku Mohd Zaki bin Ku Hussin (Dabong) mencadangkan supaya sebahagian peruntukan infrastruktur pelancongan dipertimbangkan untuk menaik taraf kemudahan asas di kawasan tumpuan pelancong sekitar Dabong.
Antara kemudahan yang perlu diberikan perhatian ialah tandas, surau, tempat persalinan, tempat letak kenderaan, papan tanda serta kemudahan keselamatan pengunjung.
Menurut beliau, Dabong mempunyai tarikan alam semula jadi seperti Gunung Stong dan Air Terjun Jelawang, selain menjadi antara pintu masuk penting ke Stong Geopark.
Penduduk Tempatan Perlu Nikmati Hasil Pelancongan
Ku Mohd Zaki menegaskan bahawa kejayaan sektor pelancongan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kunjungan pelancong semata-mata, tetapi juga peningkatan pendapatan masyarakat tempatan.
Sehubungan itu, beliau mahu penduduk diberikan lebih banyak peluang menyertai aktiviti ekonomi pelancongan, termasuk sebagai pemandu pelancong, pengusaha inap desa, penyedia perkhidmatan pengangkutan, peniaga makanan dan pengeluar produk tempatan.
Penglibatan masyarakat dalam sektor berkenaan penting supaya pembangunan pelancongan di Dabong memberikan manfaat ekonomi secara langsung kepada penduduk.
Konflik Manusia-Gajah Turut Dibangkitkan
Dalam perkembangan lain, beliau turut membangkitkan keperluan memperkukuh langkah pencegahan konflik manusia-gajah yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Beliau merujuk rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi Jeli yang mencatatkan 689 aduan konflik manusia-gajah sepanjang 2018 hingga 2023, dengan anggaran kerugian sebanyak RM2.25 juta.
Antara langkah yang dicadangkan ialah mewujudkan pasukan renjer pengiring komuniti daripada kalangan penduduk kampung yang diberikan latihan, selain menambah jenuk tiruan dan bank makanan gajah di habitat bersesuaian.
Beliau turut mencadangkan kajian kebolehlaksanaan penubuhan Kelantan Elephant Sanctuary (KES) serta penyediaan pagar elektrik mudah alih di kawasan kritikal berhampiran kediaman dan kebun penduduk.
Perkukuh Pendidikan Rabbani dan Institusi Pondok
Menyentuh aspek pendidikan Islam, Ku Mohd Zaki menekankan bahawa pelaksanaan Maahad Tahfiz Kuala Krai perlu berteraskan konsep Pendidikan Rabbani.
Menurut beliau, pendidikan tahfiz bukan sahaja perlu melahirkan generasi yang mampu menghafaz al-Quran, malah memahami tuntutannya serta mengamalkannya melalui pembentukan akhlak dan penguasaan kemahiran kehidupan.
Pembangunan institusi berkenaan juga perlu mengambil kira pengukuhan tenaga pengajar, kebajikan pelajar, keselamatan asrama dan penyediaan laluan untuk melanjutkan pengajian.
Beliau turut meminta supaya institusi pondok dan pusat tarbiah terus diperkasakan sebagai benteng akidah serta pusat perkembangan ilmu dalam masyarakat Melayu Kelantan.
