Oleh Aslani M |
KOTA BHARU: Kerajaan
negeri pada dasar bersetuju menjalankan kajian bagi membolehkan menukar
kenderaan rasmi kerajaan kepada kenderaan elektrik pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, langkah itu dapat menjimatkan kos penyelenggaraan serta kos penggunaan bahan api, khususnya diesel dan petrol.
Bagaimanapun katanya sasaran jualan kenderaan elektrik di negara ini sebanyak 20 peratus pada tahun 2025.
“Ini bermakna 20 peratus daripada kenderaan yang dijual sepatutnya terdiri daripada kenderaan elektrik.
“Seterusnya, sasaran ditingkatkan kepada 40 hingga 45 peratus, manakala menjelang tahun 2050, sebanyak 80 peratus kenderaan yang digunakan di Malaysia disasarkan terdiri daripada kenderaan elektrik,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor).
Hilmi berkata, berdasar perkembangan semasa, Malaysia masih ketinggalan berbanding negara-negara lain di ASEAN bagi penggunaan kenderaan elektrik.
Menurutnya berdasar data di Singapura, hanya sekitar 20 hingga 30 peratus kenderaan yang masih menggunakan bahan api konvensional seperti diesel dan petrol.
“Singapura berjaya menyediakan sebanyak 60,000 petak kenderaan elektrik (EVCB). Di Malaysia terdapat garis panduan yang memperincikan dasar-dasar tersebut, iaitu Garis Panduan Perancangan EVCB oleh PLANMalaysia.
“Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan EVCB diwujudkan bagi menyeragamkan kaedah perancangan dan pembinaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik di seluruh Malaysia,” ujarnya.
Hilmi juga berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan mengambil langkah menyelaraskan data berkaitan kawasan dan petak EVCB bagi mendapatkan jumlah sebenar petak pengecas kenderaan elektrik yang telah disediakan.
Kata beliau di bawah Dasar Automotif Nasional, kerajaan menyasarkan supaya sebanyak 10,000 petak EVCB diwujudkan menjelang tahun 2030.
“Ini bermakna kita mempunyai tempoh empat tahun lagi. Pada masa ini, jumlah yang direkodkan hanya sekitar 6,000 petak.
“Kita perlu menetapkan sasaran supaya menjelang tahun 2030 sebanyak 200 petak EVCB dapat diwujudkan di Kelantan berbanding hanya 49 petak yang ada sekarang,” katanya.
Menurutnya juga berdasar
cadangan yang dikemukakan sebuah syarikat, sebanyak 200 petak EVCB dicadang
untuk diwujudkan menjelang tahun 2030.
Antaranya di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) 65 petak, Majlis Daerah Pasir Mas (30 petak), Majlis Daerah Kota Bharu Perbandaran Islam (20 petak).
Selain itu, Majlis Daerah Tanah Merah dan Majlis Daerah Jeli (25 petak), Majlis Daerah Machang (15 petak) dan Majlis Daerah Gua Musang (20 petak).



