
KOTA BHARU: PAS
Kelantan merakam ucapan tahniah kepada Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob di atas
pelantikan sebagai Mursyidul Am PAS bagi sesi 2026–2030.
Manakala
Pesuruhjaya PAS Johor Dato’ Dr Mahfodz Mohamad dilantik sebagai Timbalan
Mursyidul Am PAS. Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud
pula dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.
Timbalan
Pesuruhjaya PAS negeri Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
berkata, semoga kepimpinan baharu Majlis Syura Ulamak PAS dikurniakan kekuatan,
kebijaksanaan dan petunjuk Allah SWT dalam memikul Amanah.
“Seterusnya terus
memandu perjuangan parti berlandaskan al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias
Ulama,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan pada kenyataan.
Beliau turut
merakam penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
atas segala sumbangan, jasa dan khidmat bakti sepanjang menggalas amanah
sebagai Mursyidul Am PAS.
Mesyuarat Majlis
Syura Ulama PAS yang berlangsung semalam membuat pelantikan kepimpinan Majlis
Syura Ulama PAS sesi 2026–2030.
Setiausaha Badan
Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat pula berkata, Majlis Syura
Ulamak memainkan peranan penting bagi memastikan dasar, keputusan dan hala tuju
perjuangan PAS sentiasa berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.
Katanya,
sesungguhnya kepimpinan bukan sekadar suatu kedudukan, sebaliknya amanah besar
yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
“Ia menuntut
keikhlasan, kebijaksanaan dan keteguhan dalam memelihara dasar serta prinsip
perjuangan Islam.
“Semoga Allah SWT
mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan hikmah kepada seluruh barisan
kepimpinan yang dilantik untuk terus membimbing perjuangan Islam dengan penuh
istiqamah,” ujarnya.
Beliau juga
berharap kepimpinan baharu Majlis Syura Ulamak terus memperkukuh kesatuan,
memelihara prinsip perjuangan serta membawa kebaikan kepada agama, masyarakat
dan negara.

