
KOTA BHARU: Tok
Bali Supply Base (TBSB) dijangka terus berkembang lebih pesat pada masa
akan datang dan menjadi salah satu pemacu ekonomi Kelantan berkaitan maritim.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri melihat TBSB sebagai salah satu elemen yang sangat penting dalam pembangunan Tok Bali.
Katanya, kerajaan negeri sedang mengkaji peluang pelaburan dalam TBSB melalui anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), iaitu Kelantan Ventures.
“Kita sedang berusaha mengenal pasti potensi usaha sama dengan TBSB. Perbincangan juga telah diadakan dengan Petronas.
“Petronas sememangnya telah meletakkan TBSB sebagai sebuah pelabuhan yang berpotensi menjadi pelabuhan penting dalam konteks pembangunan industri gas dan petroleum pada masa akan datang,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Norsham Sulaiman (PAS-Semerak).
Selain itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha menjalinkan kerjasama dengan TBSB bagi meningkatkan operasinya untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Kata beliau antara usaha yang dilaksanakan termasuk pembangunan vendor tempatan.
“Setakat ini, sebanyak 150 syarikat tempatan telah diberi peluang menjadi vendor TBSB dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan, teknologi, pembekalan dan sebagainya.
“Perkara ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik dan kita berharap jumlah tersebut akan terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Melalui usaha ini, usahawan tempatan akan dibimbing dalam aspek prosedur operasi standard (SOP), keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pendaftaran vendor serta perkara-perkara berkaitan,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut berusaha meningkatkan penggunaan produk dan teknologi TBSB bagi perkara yang berkaitan dengan pembangunan di Tok Bali.
Kerajaan negeri juga mengadakan perbincangan meja bulat bersama usahawan tempatan.
Di samping itu, program padanan perniagaan (business matching) akan diadakan dengan rangkaian TBSB sedia ada serta usahawan tempatan negeri Kelantan.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri berusaha melaksanakan program inkubasi bagi melahirkan usahawan yang memenuhi keperluan industri.
“Program itu akan memberikan tumpuan kepada usahawan baharu serta perusahaan kecil dan sederhana yang mempunyai potensi tinggi.
“Usaha terbabit merupakan satu laluan khas kepada golongan belia Kelantan untuk menceburi pelbagai bidang khususnya perkhidmatan, logistik dan teknologi,” ujarnya.


