Langkau ke kandungan

Institusi pendidikan perlu kuasai bidang AI

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Perkembangan
pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) menuntut institusi
pendidikan di negeri ini menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikuti
keperluan semasa.

Exco Pendidikan,
Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Dato’
Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha memperkukuh penggunaan teknologi dalam sistem
pendidikan diberi perhatian serius.

Katanya, pihak sekolah dibantu
disediakan bahan-bahan multimedia, video pendidikan dan pembelajaran interaktif
melalui sumbangan badan-badan korporat.

Kata beliau sumbangan
Smart TV melalui program IWK-KUM Cares antara komitmen pihak korporat dan
agensi berkaitan menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini.

“Menerusi program
berkenaan, sebanyak sembilan unit televisyen pintar (Smart TV) disumbangkan
kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Manakala tiga
unit penyaman udara disumbangkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Kelantan (MAIK) kepada Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin Putri A’Isyah,”
katanya pada program IWK-KUM Cares semalam.

Oleh itu kata
beliau kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada MAIK, Indah Water
Konsortium (IWK) dan Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) di atas
komitmen dalam membantu meningkatkan keselesaan persekitaran Pendidikan.

Menurutnya juga tanggungjawab
sosial korporat (CSR) bukan sekadar menyampaikan sumbangan berbentuk material,
sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan dan
kesejahteraan masyarakat.

Wan Roslan juga berkata,
pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Peringkat Sekolah YIK sebagai usaha
memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.

Menurutnya,
minyak masak terpakai yang dibuang dalam sinki atau
 perparitan boleh menyebabkan saluran
tersumbat, meningkatkan kos penyelenggaraan dan menjejaskan sistem pengurusan
air sisa.

“Sebaliknya,
minyak masak terpakai yang dikumpulkan melalui saluran betul berpotensi
diproses semula menjadi produk bernilai ekonomi, termasuk bahan mentah bagi
penghasilan biodiesel.

“Saya berharap
pertandingan ini dapat menjadi titik permulaan kepada pembudayaan amalan
pengumpulan minyak masak terpakai secara berterusan dalam kalangan warga
sekolah,” katanya.

Kata beliau juga
kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan syarikat berkaitan
kerajaan, sektor korporat dan organisasi masyarakat dalam menjayakan agenda
pembangunan negeri.

Katanya,
kerjasama strategik antara IWK, KUM dan YIK wajar diperkukuhkan, khususnya
dalam bidang pendidikan digital, kesedaran alam sekitar dan teknologi hijau.

 

 

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗